Wan Ahmad Dahlan pada Majlis Lambaian Bakti sempena persaraannya di Jabatan Perkhidmatan Awam, Putrajaya hari ini.

Wan Ahmad Dahlan bersara selepas 31 tahun berkhidmat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) hari ini selepas lebih 31 tahun berkhidmat dalam sektor awam.

Beliau yang memulakan kerjaya pada 25 Januari 1995, mengimbas kad perakam waktu buat kali terakhir sekitar pukul 5.50 petang tadi dalam Majlis Lambaian Bakti di lobi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), di sini.

Wan Ahmad Dahlan berkata, antara pencapaian paling bermakna sepanjang menerajui perkhidmatan awam ialah kejayaan melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang memerlukan keseimbangan antara tuntutan penjawat awam dengan kemampuan kewangan kerajaan.

“Namun dengan hubungan kerjasama semua pihak termasuk sokongan daripada CUEPACS (Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam), perkara itu dapat kita realisasikan dan sekarang ini penjawat awam telah pun menikmati apa yang telah digariskan dalam SSPA,” katanya menerusi sidang akhbar terakhir sempena persaraannya pada Majlis Lambaian Bakti di sini hari ini.

Terdahulu, Majlis Lambaian Bakti itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr. Mohd Bakhari Ismail dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim bersama-sama barisan pengurusan tertinggi dan warga JPA.

Selain SSPA, Wan Ahmad Dahlan turut menyifatkan pelaksanaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta 867) sebagai satu lagi pencapaian yang memberi kepuasan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Jelasnya, akta berkenaan menghendaki kementerian dan jabatan menilai semula undang-undang, prosedur serta prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi memastikan ia kekal relevan dengan perkembangan semasa, selain perubahan yang dilaksanakan perlu dibentangkan di Parlimen setiap tiga tahun.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Dahlan turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan diberikan untuk mengemudi perkhidmatan awam yang mempunyai kira-kira 1.5 juta penjawat awam.

“Bukan sesuatu yang mudah untuk kita menyantuni kehendak-kehendak setiap skim yang ada dalam perkhidmatan awam. Tapi dengan adanya pasukan-pasukan yang hebat-hebat di JPA perkara itu dapat kita tangani dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Ditanya mengenai harapannya selepas bersara, Wan Ahmad Dahlan menyatakan beliau mahu perkhidmatan awam Malaysia terus meningkatkan keupayaan sehingga setanding dengan negara maju termasuk Amerika Syarikat, negara-negara Eropah dan Singapura.

“Saya melihat bahawa kita sedang menuju ke arah itu kerana kita sebenarnya telah pun berada di landasan yang betul untuk kita duduk sama tinggi, berdiri sama tinggi dengan pihak-pihak yang saya nyatakan tadi.

“Saya percaya dengan iltizam, kekuatan dan keinginan di kalangan penjawat awam, kita akan berjaya berada sebaris dengan negara-negara maju tersebut,” katanya.

Beliau turut berharap perkhidmatan awam terus menjadikan rakyat sebagai keutamaan dalam setiap dasar dan pelaksanaan dengan memastikan inisiatif kerajaan tidak sekadar kekal di peringkat kementerian atau jabatan, sebaliknya memberikan manfaat yang benar-benar dirasai masyarakat.

“Biarlah apa yang kita laksanakan bukan tinggal dasar di kementerian atau di jabatan, tetapi benar-benar dirasai oleh rakyat di luar sana. Itu yang paling penting,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN