Kumar menunjukkan barangan yang dirampas dalam kejadian lelaki mati ditembak di Ipoh awal pagi tadi.

Kes tembak: Empat lagi diburu, aktif pecah rumah di 4 negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Polis memburu empat lagi ahli kumpulan samun dipercayai aktif melakukan jenayah di empat negeri termasuk Perak susulan kematian ketuanya dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Persiaran Lembah Perpaduan, di sini awal pagi tadi.

Kumpulan itu yang dipercayai aktif sejak tahun lalu menyasarkan banglo, rumah berkembar dan teres yang terletak berhampiran lebuh raya sebagai sasaran.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata,
suspek akan memantau kediaman sasaran sebelum melakukan samun dengan memakai topeng muka bagi mengelakkan identiti mereka dikenal pasti.

“Siasatan mendapati kumpulan itu dipercayai terbabit dalam 22 kes pecah rumah di Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka.

“Suspek boleh bertindak agresif mencederakan mangsa selain menggunakan senjata api dan parang ketika menyamun,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Kumar berkata, seorang lagi ahli kumpulan itu ditahan seminggu lalu dan direman sehingga 22 November ini bagi membantu siasatan kes samun di Tanjung Malim.

Mengulas mengenai kejadian tembakan itu, katanya, polis memintas kereta Perodua Axia yang dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 2.30 pagi.

Katanya, suspek yang berusia 39 tahun enggan memberhentikan kenderaan dan memecut sebelum berjaya dipintas anggota polis.

“Suspek keluar dari kereta dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis sebelum anggota terpaksa membalas tembakan bagi mempertahankan diri.

‘Lelaki itu ditemui di dalam longkang berhampiran lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia,” katanya.

Pemeriksaan ke atas kereta dinaiki suspek menemui sepucuk senjata api separa automatik, tiga butir peluru hidup, enam kelongsong peluru dan tiga bilah parang.
Polis turut merampas satu peket syabu dan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan samun dan pecah rumah.

“Berdasarkan barangan yang dirampas, kita percaya suspek kemungkinan besar dalam perjalanan untuk mengumpulkan rakan-rakan jenayah yang lain,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN