Gambar Allahyarham Muhammad Aidil bersama-sama kedua ibu bapanya dalam majlis graduasi sebelum ini.

‘Selesai pembedahan pagi tadi, kini buah pinggang adik selamat sampai kepada dua penerima’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hanya beberapa jam selepas prosedur pengambilan organ Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi selesai kira-kira pukul 8 hingga 9 pagi tadi, keluarganya menerima perkhabaran bahawa buah pinggang arwah sudah selamat sampai kepada dua remaja yang memerlukan organ berkenaan.

Perkhabaran itu diterima selepas urusan pengebumian Allahyarham selesai di Kelantan, apabila petugas Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) memaklumkan perkembangan terkini mengenai organ yang didermakan.

Kakak Allahyarham, Siti Hawa Najwa Ahmad Zupardi, 27, berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, dua penerima buah pinggang adiknya dipercayai merupakan remaja lelaki dan perempuan berusia sekitar 14 dan 15 tahun.

Menurutnya, berita tersebut sedikit sebanyak memberikan kelegaan kepada keluarga yang masih bersedih dengan pemergian adik bongsu daripada empat beradik itu.

“Identiti penerima memang dirahsiakan, tetapi mereka beritahu buah pinggang adik untuk dua remaja, seorang lelaki dan seorang perempuan berusia sekitar 14 dan 15 tahun.

“Bila dapat tahu perkara itu, kami sekeluarga rasa sangat bangga kerana walaupun adik sudah tiada, organ dia masih boleh membantu insan lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mengulas lanjut, Hawa berkata, keputusan mendermakan organ anak bongsu daripada empat beradik itu bukan sesuatu yang mudah, terutama buat ibu bapanya yang pada awalnya berat hati kerana bimbang prosedur berkenaan menjejaskan keadaan jenazah.

Katanya, keluarga mengambil masa agak lama untuk berbincang dan mendapatkan penjelasan terperinci daripada doktor sebelum akhirnya sepakat memberikan persetujuan.

“Pada mulanya mak memang berat hati sebab takut melukakan jenazah. Ayah pun sama, tetapi kami banyak bertanya kepada doktor mengenai prosedur yang akan dilakukan.

“Kami adik-beradik cuba yakinkan mak dan ayah bahawa pendermaan ini boleh menjadi amal jariah buat adik walaupun dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurut Hawa, keluarga bersetuju dengan pendermaan hampir kesemua organ dan tisu termasuk paru-paru, buah pinggang, kornea mata serta tulang, kecuali kulit.

Dalam pada itu, Hawa berkata, keluarganya turut berpeluang melihat keadaan jenazah selepas prosedur pendermaan organ selesai dan mendapati tubuh arwah berada dalam keadaan baik.

“Alhamdulillah, selepas pembedahan kami adik-beradik tengok sendiri jahitan semuanya cantik, tidak ada kecacatan seperti yang kami bayangkan.

“Adik nampak macam sedang tidur sahaja. Jadi kami berharap masyarakat tidak lagi menganggap pendermaan organ sebagai sesuatu yang menakutkan,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Aidil terbabit dalam kemalangan motosikal kira-kira 100 meter dari rumah keluarganya di Kelantan pada Isnin lalu sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, arwah mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala sehingga menyebabkan kematian otak sebelum keluarga bersetuju mendermakan organ dan tisunya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Puteri, Panchor, Kelantan selepas solat zuhur hari ini.– KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN