PETALING JAYA – Bahagian Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) hari ini melakukan perkhidmatan pemindahan perubatan kecemasan (Medevac) melibatkan pemindahan organ iaitu hati, buah pinggang, mata dan tulang dari Lapangan Terbang Kota Bharu, Kelantan ke Subang pada pagi tadi.
Bahagian Udara JBPM memaklumkan, pemindahan organ itu menggunakan helikopter AW139 (9M-BOC) yang mengambil masa kira-kira tiga jam 30 minit tempoh penerbangan.
“Penerbangan turut disertai dua doktor perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia yang membawa organ, seterusnya menuju ke IJN (Institut Jantung Negara), HKL (Hospital Kuala Lumpur) dan Hospital Selayang menggunakan ambulans.
“Penerbangan BMB06 diketuai oleh Timbalan Penguasa Bomba I, Ahmad Fissol Ismail telah dilaksanakan dengan jaya dan selamat,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Tiga lagi anggota udara yang terlibat dalam penerbangan itu ialah Penguasa Kanan Bomba II Robert, Pegawai Bomba Tinggi II Hasnol dan Pegawai Bomba Amir.
Dalam masa sama, keadaan cuaca ketika itu mendung dan awan rendah serta hujan renyai di beberapa kawasan laluan penerbangan.
Operasi tamat pukul 10.42 pagi dan kru kemudian meneruskan penerbangan balik pukul 12.30 tengah hari tadi. – KOSMO! ONLINE














