MENGEKORI rapat jejak kakaknya, Nadiya Nissa, Aida Amron dilihat miliki masa depan cerah dalam seni lakonan, sementelah baru menang trofi Pelakon Wanita Terbaik dalam FFM35.

‘Belum jumpa bakat dalam diri, tapi syukurlah orang nampak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CUKUP manis dan di luar jangkaan! Begitulah gambaran tepat mengenai detik bersejarah pelakon baharu, Aida Amron apabila lakonan memukaunya menerusi filem Badak berjaya menewaskan nama-nama besar lain sekali gus menggenggam trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) yang melabuhkan tirai di Istana Budaya, hujung minggu lalu

Mengakui terkejut, Aida, 26, bahkan menyifatkan kemenangan menerusi filem Badak arahan M. Raihan Halim sebagai sesuatu yang langsung tidak dijangka memandangkan masih hijau dalam industri seni.

“Saya sangat tidak menjangkakan kemenangan ini sebab saya buat kajian (research) iaitu daripada FFM pertama sampai ke FFM34 untuk melihat bagaimana corak pencalonan dan kemenangan.

“Saya buat kajian itu supaya saya dapat bersedia untuk melangkah kaki ke FFM.

“Jadi, saya buat kajian itu supaya sedar diri saya dicalonkan dalam FFM35.

“Sebenarnya tidak rasa saya akan menang sebab belum cukup lagi bergelar pelakon filem dan perlu dicalonkan lagi pada masa akan datang,” katanya pada sidang media selepas memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik.

Dalam pada itu, dia tidak menafikan bahawa kemenangan tersebut bakal meletakkan jangkaan yang tinggi daripada orang ramai terhadap lakonannya selepas ini.

Aida turut menyifatkan tekanan itu sebagai perkara biasa dalam industri seni yang menuntut kemahiran dan kreativiti tinggi.

Tak jumpa bakat

Dalam masa sama, adik kepada pelakon Nadiya Nissa itu menzahirkan penghargaan kepada pihak yang sentiasa mempercayai bakatnya walaupun mengakui pada awalnya kurang yakin dengan kemampuan diri.

“Saya sebenarnya tidak jumpa lagi perkara (bakat) itu dalam diri saya tetapi orang lain yang nampak.

“Terima kasih sangat sebab percaya kepada orang yang kurang percaya pada diri sendiri.

“Semua orang memang memerlukan pihak yang percayakan bakat kita supaya dapat lebih ke depan dan tahu siapa diri kita sebenarnya,” ujarnya.

Menjawab persoalan sama ada akan lebih selektif dalam memilih naskhah selepas ini, Aida menegaskan pendiriannya tidak berubah semata-mata kerana memenangi sebuah anugerah.

“Bukanlah sebab menang anugerah. Saya berlakon pun sememangnya mencari skrip atau karya yang memanusiakan manusia dan bukanlah sekadar hiburan sahaja.

“Saya rasa dunia sekarang bukanlah masa untuk kita bersenang-senang, kita perlu peringatan dan rutin baharu untuk tahu masa depan kita.

“Saya mahu naskhah yang mencipta sesuatu untuk dunia seni ini. Bukan kepada industri sahaja tetapi kepada masyarakat negara sendiri,” jelasnya.

Filem Badak turut memberi kemenangan terhadap teraju utamanya, Shaheizy Sam yang membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik FFM35.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN