Tangkap layar rakaman CCTV memaparkan dua lelaki dipercayai cuba menceroboh sebuah kediaman sebelum beredar selepas menyedari kehadiran kamera yang dikongsi pengguna @yuriazhar8118 di Threads.

[VIDEO] Tak jadi pecah rumah lepas nampak CCTV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tindakan dua lelaki dipercayai cuba menceroboh sebuah kediaman di sebuah kondominium di Lembah Klang sebelum bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran televisyen llitar tertutup (CCTV) mengundang kebimbangan penduduk.

Kedua-dua lelaki berkenaan dipercayai menyamar sebagai tetamu inap desa untuk mendapatkan akses masuk ke kawasan kondominium sebelum cuba melakukan kegiatan pecah rumah dan pencerobohan.

Menerusi perkongsian pengguna Threads, @yuriazhar8118, lokasi kejadian dirahsiakan bagi mengelakkan sebarang isu undang-undang, termasuk kemungkinan tindakan saman atau laporan polis.

Menurutnya, dia bersama beberapa jiran mengesyaki kedua-dua individu berkenaan mempunyai kaitan dengan sindiket yang menggunakan taktik menyamar sebagai tetamu inap desa untuk melakukan kegiatan jenayah.

“Saya dan jiran-jiran syak suspek sekarang ada sindiket menyamar sebagai tetamu homestay (inap desa) untuk pecah rumah, menceroboh dan melakukan pelbagai jenayah lain melibatkan warga asing dan warga.

“Berhati-hati semua, peka dengan persekitaran rumah anda,” kongsinya.

Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya meluahkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan kediaman yang tidak mempunyai kawalan akses ketat.

“Bahaya! Apartment (pangsapuri) tak ada pagar, mereka boleh pecah masuk macam ini. Lebih-lebih lagi orang macam ini tinggal dalam bangunan yang sama,” komen @shakilatash.

“Kalau nampak CCTV, terus batalkan niat. Mujur ada kamera,” komen @yuhuibis pula.

Malah, seorang pengguna @lidanawi_ turut mendakwa pernah menjadi mangsa kejadian pecah rumah di Damansara Perdana.

“Di Damansara Perdana pun sama. Tak halal dunia akhirat, dia pecah rumah aku dan ambil iPad, laptop, iPod serta beg. Sindiket juga itu,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna mengingatkan pemilik rumah supaya membuat laporan polis sekiranya mengesyaki berlaku cubaan pencerobohan demi keselamatan penduduk setempat.

“Kalau pemilik rumah patut buat laporan polis demi keselamatan kawasan perumahan. Jadi lah bertanggungjawab dengan keselamatan sekeliling, kalau dah sekali buat memang pasti akan datang tempat yang sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

View on Threads

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN