Tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada Disember 2022 yang mengorbankan puluhan nyawa menjadi antara peringatan mengenai bahaya ketidakstabilan cerun terutama ketika musim hujan. – GAMBAR FAIL

Musim hujan, cerun jadi ‘bom jangka’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HUJAN lebat yang melanda negara ketika ini bukan sahaja mencetuskan kebimbangan berlakunya banjir, malah meningkatkan risiko kejadian tanah runtuh khususnya di kawasan berkepadatan tinggi seperti Lembah Klang.

Ancaman itu perlu diberikan perhatian serius susulan banyak kawasan perumahan, bangunan komersial serta laluan utama dibangunkan berhampiran lereng bukit dan kawasan bercerun.

Lebih membimbangkan, peningkatan kandungan air di dalam tanah akibat hujan berterusan boleh menjejaskan kestabilan cerun, sekali gus mengundang risiko runtuhan yang boleh meragut nyawa.

Justeru, sebarang perubahan fizikal pada permukaan tanah termasuk rekahan kecil, kemunculan aliran air pada lereng bukit serta struktur tembok penahan yang mula condong tidak seharusnya dipandang ringan.

Pensyarah Kanan Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nor Shahidah Mohd. Nazer berkata, tanda-tanda awal kegagalan cerun boleh dikenal pasti sekiranya pemantauan dilakukan secara berkala.

“Untuk setiap cerun, tanda-tanda kegagalan boleh dilihat dan dicerap dengan jelas jika pemantauan berkala dibuat dengan kerap.

“Rekahan tegangan di puncak cerun akan muncul sebelum mana-mana cerun gagal, selain daripada kemunculan mata air yang keluar pada sisi cerun, lazimnya di bahagian tengah atau bawah cerun, yang menandakan terdapat aliran air aktif di dalam cerun,” katanya.

Menurutnya, kewujudan struktur kekal seperti dinding penahan di kawasan cerun juga tidak bermakna kawasan berkenaan bebas daripada risiko kejadian tanah runtuh.

Katanya, kegagalan struktur tersebut boleh berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk gelinciran, kegagalan beban galas serta tahap kestabilan cerun itu sendiri.

“Secara mudahnya, sebarang retakan struktur dan perubahan kedudukan dinding penahan yang condong menandakan terdapat penumpuan tekanan di belakang dinding penahan.

“Maka dinding berpotensi runtuh akibat penurunan nilai Faktor Kesamatan (FOS) di bawah paras selamat,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Nor Shahidah berkata, kepadatan penduduk yang tinggi di Kuala Lumpur menyebabkan risiko kejadian tanah runtuh bukan sahaja melibatkan penghuni kediaman berhampiran lereng bukit, malah pengguna infrastruktur di kawasan sekitarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan agar pihak berkuasa mempergiatkan usaha pemantauan dan kerja-kerja penstabilan cerun tanpa hanya tertumpu kepada kawasan yang telah dikenal pasti berisiko tinggi.

“Pemantauan dan gerak kerja penstabilan cerun perlu dipergiat, tidak kira sama ada cerun tersebut dalam kategori berisiko tinggi atau tidak.

“Cerun-cerun ini perlu dipantau dengan teliti oleh pakar bertauliah, maka pihak berkuasa perlu memastikan pegawai-pegawai yang menilai cerun mempunyai pengetahuan yang diperlukan untuk menilai kestabilan sesuatu cerun,” katanya.

Terdahulu, pada 12 November lalu, kejadian tanah runtuh berhampiran kawasan perumahan di Persiaran Kosmos, Seksyen U5, Shah Alam menyebabkan sebahagian cerun runtuh sehingga merosakkan struktur tembok penahan konkrit.

Pada 22 September lalu, penghuni sebuah blok pangsapuri di Bandar Damai Perdana, Cheras diarahkan mengosongkan kediaman susulan kejadian tanah runtuh dipercayai berpunca daripada kebocoran air bawah tanah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN