MARESCA berdepan masalah untuk mengembalikan motivasi pemain selepas City tewas tiga perlawanan berturut-turut. - AFP

EPL: Harmoni kem City mula retak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MANCHESTER – Belum sampai enam bulan Enzo Maresca menjadi pengurus Manchester City, sudah mula ada desas-desus yang mendakwa sebahagian besar pemain mula tidak berpuas hati dengan cara pengurusannya.

Menurut bekas pengesan bakat, Bryan King yang memiliki hubungan cukup baik bersama keluarga penyerang sensasi City, Erling Haaland, Maresca seolah-olah tidak mampu mengisi kekosongan ditinggalkan pengurus legenda, Pep Guardiola.

Beliau berkata, bekas pengendali Chelsea itu gagal untuk mengekalkan motivasi pemain-pemain The Citizens selepas permulaan sempurna dengan memenangi tujuh perlawanan awal Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Keadaan itu tampak sudah berubah apabila mereka tewas dalam kesemua tiga perlawanan terakhir Liga Perdana, termasuk kalah mengejut 1-3 kepada Nottingham Forest sebelum saingan rehat untuk aksi antarabangsa.

“Beliau perlu segera mendapatkan semula karakter yang ada pada semua pemain ketika mereka menang tujuh perlawanan berturut-turut dalam saingan awal musim ini. Saya fikir pemain-pemain sudah mula berasa selesa.

“Apabila pemain mula dibuai dengan kemenangan, itu menjadi tugas Maresca untuk memastikan mereka merendah diri. Selepas tewas buat kali pertama, saya tidak nampak mereka ada usaha untuk bangkit,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan, bilik persalinan City sudah semakin retak dan Maresca perlu melakukan sesuatu yang istimewa bagi memastikan ia dapat ‘ditampal’ semula menjelang aksi penting menentang Arsenal nanti.

“Saya ada dengar spekulasi ada sesuatu yang tidak kena dalam bilik persalinan City. Sekiranya keadaan itu tidak ditangani dengan baik, saya yakin ia akan menjadi sukar untuk dibendung,” ujar King. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN