JOHOR BAHRU – Seorang pembantu jualan wanita berputih mata apabila kerugian RM285,204 selepas terjerat tipu helah sindiket phone scam yang menyamar sebagai anggota polis, awal bulan ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Victor Genason berkata, insiden bermula pada 5 November lalu apabila wanita berusia 45 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya pegawai polis.
“Suspek mendakwa nama mangsa mempunyai rekod jenayah membabitkan kes pengubahan wang haram.
“Bagi meyakinkan mangsa, panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lagi individu yang kononnya pegawai polis berpangkat lebih tinggi untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan akhbar.
Menurutnya, mangsa diarahkan memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun bank yang diberikan suspek bagi mengelakkan dirinya dikenakan tindakan undang-undang.
Katanya, akibat panik dan percaya dengan dakwaan itu, mangsa melakukan empat transaksi pemindahan wang ke dalam dua akaun bank berbeza antara 5 hingga 7 November lalu membabitkan jumlah keseluruhan RM285,204.44.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal mendapat sebarang maklum balas daripada suspek sebaik sahaja semua wang berkenaan dimasukkan,” katanya.- KOSMO! ONLINE














