KUALA PILAH – Ibu kepada pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar, Perak tidak putus-putus berdoa agar kematian anak lelakinya dalam keadaan menyayat hati dapat dirungkai dalam masa terdekat.
Siti Zamira Zolkopli, 45, berkata, dia menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis dan sekolah untuk menjalankan siasatan kerana tidak mengetahui perkara sebenar yang berlaku ke atas anak ketiga daripada lima beradik tersebut.
“Harapan saya selidik betul-betul. Kita tak tahu dan saya pun tak pasti, cuma saya doa banyak-banyak…saya serahkan kepada Allah untuk buka sebenar-benarnya (kebenaran).
“Saya serahkan kepada polis dan pihak sekolah. Saya harap semuanya dapat dirungkai,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Juasseh, di sini, malam tadi.
Wanita itu berkata, dia menerima berita mengenai kematian anaknya yang berusia 15 tahun kira-kira pukul 4 petang semalam ketika berada di rumahnya di Kuala Lumpur sebelum bergegas ke Kuala Kangsar.
Cerita Siti Zamira, arwah merupakan anak yang baik, sentiasa mendengar kata selain disenangi rakan-rakan serta guru.
“Semua orang terkejut apabila mendapat tahu dia meninggal dunia. Kali terakhir saya bertemu anak ketika cuti Deepavali dan arwah kelihatan seperti biasa,” ujarnya.
Malah, katanya, perbualan terakhir mereka pada Isnin lalu berkisar mengenai pemilihan aliran sama ada Sains Tulen atau Sains Sosial kerana arwah mempunyai perancangan untuk masa hadapannya.
“Sebelum ini arwah bercita-cita menjadi juruterbang, namun selepas cuti sekolah lalu, dia menyatakan hasrat untuk menjadi doktor pakar. Dia tahu apa yang mahu dicapainya, tetapi impian itu tidak kesampaian,” katanya yang memberitahu arwah tidak pernah berkongsi sebarang perkara yang boleh menimbulkan kebimbangan ahli keluarga.
Terdahulu, jenazah remaja itu disolatkan dua kali di rumah keluarga sebelah ibunya sebelum dikebumikan pada pukul 10.20 malam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Juasseh.
Lebih memilukan, bapa, datuk dan adik arwah turut menyambut jasad remaja itu di liang lahad.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek yang tiba pada pukul 9.30 malam.- KOSMO! ONLINE














