JAKARTA – Seorang wanita di Lumajang, Jawa Timur ditahan pihak berkuasa selepas disyaki tergamak membunuh anak kandungnya sendiri yang berusia dua tahun, akibat tekanan dan marah selepas bertengkar dengan suaminya, lapor saluran berita Lambe Turah.
Ketua Polis Daerah Lumajang, AKBP Riki Yariandi berkata, suspek yang dikenali sebagai Surati dipercayai melepaskan kemarahan berpunca daripada konflik rumah tangga terhadap mangsa yang dikenali dengan inisial IS.
“Tindakan suspek berpunca daripada masalah keluarga selepas berlaku pertengkaran dengan suaminya sehingga menyebabkan pelaku gagal mengawal emosi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Polis juga sedang menyiasat kemungkinan wujudnya tekanan kewangan yang menjadi punca utama pertelingkahan pasangan suami isteri berkenaan.
Dalam kejadian pada Isnin lalu, suspek dilaporkan mengangkat mangsa yang sedang nyenyak tidur di dalam bilik sebelum membawanya ke bahagian belakang rumah.
Suspek kemudiannya bertindak membenamkan kepala mangsa ke dalam sebuah baldi berisi air selama kira-kira satu jam setengah.
Perbuatan kejam wanita itu hanya disedari oleh kakak mangsa yang kemudiannya menjerit histeria sehingga mengejutkan bapa mangsa serta ahli keluarga lain yang sedang tidur di dalam bilik.
Sementara itu, ibu saudara mangsa, Tia Kusumawati memaklumkan bahawa kanak-kanak malang tersebut ditemui sudah tidak bernyawa di dalam baldi berkenaan.
Suspek dilaporkan cuba melarikan diri sejurus selepas kejadian itu terbongkar, namun berjaya diberkas polis tidak lama kemudian. – AGENSI














