RAUB – Seorang wanita kini mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan selepas suaminya diserang strok yang menyebabkan pergerakannya terbatas.
Nur Hidayah Ismail, 41, berkata, hidupnya semakin mencabar apabila pendapatan mereka makin berkurangan selepas suaminya, Ahmad Faizal Kamaludin, 41, yang merupakan pemandu di Cameron Highlands menerima separuh gaji bermula hari ini.
Katanya, dia juga perlu menjaga dua anak perempuan, Zara Aisyah, 10, dan Arissa Sofia, 6, yang kerap diserang asma manakala ibunya, Saodah Mamang, 73, pula uzur.
“Saya mengupah seseorang untuk membantu mengurus suami menjalani rawatan rehabilitasi selama tiga bulan bermula minggu lalu di Perkeso Melaka.
“Saya tidak boleh ikut kerana menguruskan perniagaan kek dan makanan dari rumah di kampung selain menguruskan persekolahan dua anak dan menjaga ibu uzur,” katanya ketika ditemui di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, di sini, semalam.
Menurut Nur Hidayah, suaminya diserang strok selepas dia tiba-tiba rebah di bilik air di rumah sewanya di Cameron Highlands ketika hendak bersiap ke tempat kerja awal April lalu.
Tambahnya, dia dan suami tinggal berjauhan atas faktor kerja dan menguruskan anak-anak.
“Kawannya hubungi saya sebaik suami rebah. Imbasan tomografi berkomputer mendapati banyak saluran darah di otak suami tersumbat dan ia berkait rapat dengan kencing manis,” katanya.
Ujar Nur Hidayah, suaminya mula menunjukkan perubahan dan kini boleh berjalan tanpa bantuan orang lain, namun belum pulih sepenuhnya.
“Saya berniaga kek dan makanan mengikut tempahan tetapi hasilnya tidak menentu. Kadang-kadang dapat RM50, ada masa lebih dan ada juga langsung tiada tempahan,” katanya.
“Saya perlukan duit kerana anak kerap diserang asma manakala ibu yang tinggal bersebelahan pula uzur dan bergantung kepada saya,” katanya.
Menurut Nur Hidayah, dia berharap suaminya dapat menjalani rawatan rehabilitasi dengan baik dan kembali pulih supaya mampu bekerja semula.
“Anak-anak masih kecil dan banyak perbelanjaan perlu difikirkan. Saya akan terus berniaga setakat yang termampu dan berharap suami dapat kembali bekerja seperti dahulu,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan urusan Nur Hidayah sekeluarga boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun CIMB miliknya, 7641890788 atau menghubunginya di talian 011-1853 9474.














