PETALING JAYA – Di sebalik kemewahan yang dikecapi sekarang, pelakon Wawa Zainal menyimpan pelbagai cerita kesusahan terutama pada awal-awal perkahwinan bersama suami yang juga aktor, Aeril Zafrel.
Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 34, mengimbau kembali detik sukar apabila mereka terpaksa hidup berhemat demi menyara anak pertama dalam keadaan kewangan yang sangat terhad.
“Apa yang berikan saya kekuatan sudah semestinya anak. Kami baru ada anak pertama dan susahlah, duit pun tak ada sangat.
“Saya ingat lagi waktu itu duit dalam akaun Aeril ada RM30,000 saja, untuk seorang pelakon jumlah itu sikit dengan beli barang-barang bayi.
“Waktu itu saya tak kerja, Aeril saja — jadi memang kami makan pun jimat-jimat,” katanya dalam sebuah audio siar.
Tambah pelakon filem Budak Pailang itu, keadaan kewangan yang terhad membuatkan dirinya berasa serba salah untuk meminta wang bagi perbelanjaan peribadi, termasuklah barangan asas wanita.
“Saya rasa perempuan mesti ada kemahuan nak beli. Barang-barang solekan dan produk penjagaan kulit jadi bila minta Aeril, rasa bersalah sebab dia pun cukup-cukup.
“Keadaan itu yang memaksa saya cari sesuatu yang datangkan pendapatan. Nak paling terbaik untuk anak saya,” ujarnya.
Sekadar info, Wawa dan Aeril mendirikan rumah tangga pada 2013.
Pasangan itu dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar , 13, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 10, Ayya Soffya, 6, dan Muhammad Fahri, lima tahun. – KOSMO! ONLINE
















