SEORANG pelajar kedoktoran dan seorang pensyarah pelatih fakulti pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencatat pencapaian membanggakan apabila masing-masing meraih tempat pertama dan tempat ketiga dalam kategori Three Minute Thesis (3MT) bersempena 18th International Conference of the Asian Academy of Preventive Dentistry (ICAAPD 2026) di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.
Pelajar program Doktor Kesihatan Awam Pergigian (DrDPH), Dr. Nor Najiah Shaari memperoleh tempat pertama menerusi penyelidikan bertajuk The Missing Piece in Diabetes Care: Oral Health Integration into Diabetes Care: A Scoping Review.
Dr. Nor Najiah menjalankan penyelidikan tersebut di bawah penyeliaan Prof. Dr. Tuti Ningseh Mohd. Dom dan Prof. Madya Dr. Shahida Mohd. Said.
Kajian tersebut meneliti usaha mengintegrasikan penjagaan kesihatan pergigian dalam pengurusan diabetes, di samping mengenal pasti cabaran yang mempengaruhi pelaksanaannya.
Dapatan kajian itu menekankan kepentingan kerjasama antara profesional kesihatan, penetapan peranan yang jelas serta pelaksanaan sistem rujukan pergigian yang teratur bagi memastikan pesakit diabetes menerima penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh dan bersepadu.
Mengulas kejayaan tersebut, Dr. Nor Najiah menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada barisan penyelia serta pihak fakulti atas bimbingan dan sokongan yang diberikan sepanjang pelaksanaan penyelidikan.
“Pencapaian ini menjadi motivasi untuk saya terus menghasilkan penyelidikan yang menyumbang kepada penambahbaikan penjagaan kesihatan, khususnya pesakit diabetes.” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pelatih Fakulti Pergigian, Dr. Nur Dini Mohd. Zawawi memperoleh tempat ketiga menerusi penyelidikan bertajuk Factors Influencing Out-of-pocket Payment Decisions in Private Dental Care in Malaysia: An Exploratory Qualitative Study.
Penyelidikan tersebut mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi keputusan individu untuk membuat pembayaran sendiri bagi mendapatkan perkhidmatan pergigian swasta di Malaysia.
Kajian oleh Dr. Nur Dini tersebut memberikan pemahaman tentang pertimbangan dan keperluan pesakit dalam membuat keputusan berkaitan penggunaan perkhidmatan pergigian swasta.
“Dapatan kajian ini berpotensi menyumbang kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang tingkah laku pengguna serta akses kepada perkhidmatan kesihatan pergigian dalam sektor swasta,” katanya.

Menurut Dr. Nur Dini, penyertaan dalam pertandingan tersebut merupakan pengalaman bermakna yang membuka ruang untuk berkongsi hasil kajian dengan komuniti akademik antarabangsa.
“Pendedahan di peringkat antarabangsa amat penting untuk saya memperluas jaringan akademik, bertukar ilmu dan meningkatkan kemahiran komunikasi penyelidikan.
“Saya berharap kajian ini dapat menyumbang kepada pemahaman yang lebih baik tentang faktor yang mempengaruhi akses kepada perkhidmatan pergigian swasta di Malaysia,” ujarnya.
Pertandingan 3MT merupakan platform akademik yang menguji keupayaan penyelidik untuk menyampaikan hasil penyelidikan secara ringkas, jelas dan berkesan dalam tempoh tiga minit kepada khalayak yang lebih luas.
Penyertaan dalam pertandingan ini turut memberikan peluang kepada penyelidik untuk memperkukuh kemahiran komunikasi saintifik serta meningkatkan keterlihatan hasil penyelidikan di peringkat antarabangsa.
















