PETALING JAYA – “Semoga ini juga menjadi asbab akak masuk syurga.”
Demikian doa sekumpulan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) buat seorang wanita yang membelanja mereka makan di sebuah restoran.
Menerusi perkongsian di Threads oleh pengguna luv.ir4_, dia bersama rakan-rakannya tidak menyangka apabila makanan mereka di sebuah restoran di KL Gateway dibayar oleh seorang wanita yang duduk di meja luar.
Menurutnya, tindakan wanita yang tidak dikenali itu membuatkan mereka berasa gembira dan terharu kerana tidak menyangka ada individu sudi berbuat demikian.
Dia turut mengucapkan terima kasih kepada wanita berkenaan dan mendoakan agar rezekinya sentiasa dilimpahkan dan kehidupannya dirahmati Allah SWT.
Perkongsian tersebut menarik perhatian netizen yang rata-ratanya turut mendoakan kesejahteraan wanita berkenaan serta kejayaan kumpulan pelajar itu dalam peperiksaan SPM.
“Sukanya baca generasi baharu menghargai perkara macam ini. Semoga berjaya dalam SPM,” komen peonyflower55.
“All the best (semoga berjaya) semua. Jaga diri dan semoga Allah pelihara kamu daripada orang yang berniat jahat,” komen qiiizzzyyy pula.
“Awhh, semoga Allah permudahkan urusan menjawab peperiksaan dan diberikan cahaya ingatan serta ilmu yang luar biasa,” komen seorang lagi pengguna.
“Kindness is contagious (kebaikan itu menular). Semoga suatu hari nanti adik-adik menjadi orang berjaya dan boleh sebarkan kebaikan seperti akak itu juga,” tulis yang lain. – KOSMO! ONLINE
















