SAO PAULO – Pelumba Ferrari, Charles Leclerc menjelaskan dia sudah menyelesaikan persengketaan dengan rakan sepasukan, Lewis Hamilton berhubung insiden pada Grand Prix (GP) Mexico minggu lalu.
Pada perlumbaan tersebut, kedua-dua pelumba itu bersaing sesama sendiri pada pusingan pertama yang seterusnya dimanfaatkan oleh pelumba Red Bull, Max Verstappen untuk memenangi perlumbaan itu.
Selepas mengadakan perbincangan bersama Hamilton dan ketua pasukan, Fred Vasseur menjelang perlumbaan GP Brazil di Litar Interlagos, Leclerc berkata, masalah itu sudah berjaya diselesaikan.
“Apa yang pasti, banyak perkara sudah berlaku sepanjang minggu lepas. Kami sudah bercakap serta berbincang, jadi semuanya sudah selesai dan saya hanya mahu memberikan fokus kepada perlumbaan minggu ini,” katanya.
Pada sesi latihan bebas (FP) GP Brazil yang berlangsung awal pagi tadi, Ferrari dilihat bergelut untuk mempamerkan prestasi sebenar apabila Hamilton dan Leclerc sekadar menamatkan saingan di tempat keenam dan ketujuh.
Sementara itu, Leclerc yang menganggap keputusan tersebut merupakan antara terburuk musim ini sedia untuk melakukan perubahan terhadap jentera menjelang perlumbaan sebenar awal pagi Isnin nanti.
“Bagi saya, FP2 sangat rumit sehingga membuatkan saya rasa sangat teruk sepanjang saingan musim ini. Masih banyak kerja perlu dilakukan dan saya ada beberapa cadangan untuk meningkatkan kemampuan jentera,” ujarnya. – AGENSI
















