KUALA LUMPUR – Tiga pertukaran di pertengahan babak pertama menjadi titik kebangkitan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang meraih kemenangan 3-1 ke atas Cong An Hanoi FC pada aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Hang Day, sebentar tadi.
Keputusan Xisco Munoz memasukkan Oscar Arribas bagi menggantikan Nene nyata menjadi percaturan berbaloi apabila menghasilkan dua gol bagi melengkapkan kebangkitan hebat Harimau Selatan.
Terdahulu, usaha Nene untuk membantu barisan pertahanan berubah sebaliknya apabila tertampan bola ke gawang sendiri untuk menghadiahkan jaringan pembukaan buat tuan rumah.
Jaringan itu nyata meningkatkan motivasi Cong An Hanoi FC yang dilihat cukup tenang untuk menguasai permainan dan minit ke-15, Alan Grafite hampir menambah jaringan buat tuan rumah sebaliknya rembatan derasnya sekadar menggegar di tiang gol JDT.
Tekanan Cong An Hanoi FC memaksa Munoz melakukan tiga pertukaran secara serentak dan kemasukan Arribas, Ager Aketxe serta Jairo da Silva berjaya meningkatkan persembahan JDT namun masih belum cukup untuk menghasilkan gol penyamaan.
Harimau Selatan menyambung aksi dengan positif apabila memperoleh dua gol dalam tempoh 10 minit, masing-masing menerusi Arribas pada minit ke-50 dan Marcos Guilherme, minit ke-60.
Selang 11 minit selepas itu, penjga gol JDT, Andoni Zubiaurre berjaya menempatkan diri di kedudukan tepat untuk menghalang peluang terbaik tuan rumah menerusi Le Van Do.
Minit ke-83, Cong An Hanoi FC terus dihimpit kecewa apabila rembatan Grafite dalam kotak penalti sekali lagi terkena tiang.
Sebaliknya, selang tiga minit selepas itu, JDT terus ceria apabila Arribas meledak gol kedua peribadinya selepas tampil tenang untuk menyempurnakan umpanan daripada Guilherme.
Memasuki minit ke-90, Nguyen Quang Hai berjaya merobek gawang JDT namun ia dibatalkan kerana bintangnya, Brayan Perea terlebih dulu dikesan berada di kedudukan offside. – KOSMO! ONLINE














