PETALING JAYA – Lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk seorang berpangkat kapten ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang menggunakan kemudahan penerbangan ketenteraan untuk menyeludup syabu bernilai RM4.83 juta.
Kesemua pegawai terbabit ditahan bersama enam orang awam menerusi beberapa siri operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di sekitar Lembah Klang dan Labuan, Sabah, kelmarin.
Operasi hasil kerjasama risikan strategik JSJN bersama Cawangan Provos Marsyal TUDM itu turut membawa kepada rampasan 96.64 kilogram dadah disyaki syabu selain 6.98 kilogram cecair bahan kimia.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Julai lalu dengan mengeksploitasi kemudahan pengangkutan udara ketenteraan TUDM.
Menurutnya, sindiket itu dipercayai menggunakan kemudahan berkenaan untuk membawa bekalan dadah dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, khususnya Filipina dan Indonesia.
“Perkembangan terkini menunjukkan sindiket semakin berani mengeksploitasi kemudahan strategik kerajaan serta memperalatkan individu yang mempunyai akses dan kedudukan tertentu bagi melindungi kegiatan jenayah mereka daripada dikesan pihak berkuasa.
“Modus operandi ini memperlihatkan tahap keberanian dan kelicikan sindiket dalam mengeksploitasi kemudahan serta kepercayaan yang diberikan kepada individu tertentu dalam institusi keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussein berkata, hasil siasatan turut mengenal pasti dua daripada enam individu awam yang ditahan dipercayai bertindak sebagai koordinator bagi mengatur dan menyelaraskan kegiatan pengedaran dadah sindiket terbabit.
Katanya, polis kini giat mengesan seorang lagi lelaki warga Malaysia yang dipercayai merupakan ketua sindiket atau dalang utama kegiatan berkenaan.
“JSJN memandang serius sebarang penyalahgunaan kedudukan, kuasa atau kemudahan rasmi untuk kepentingan jenayah kerana tindakan sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menjejaskan integriti institusi dan keselamatan negara,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, kesemua lima pegawai TUDM yang ditahan direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 24 November ini bagi membantu siasatan.
Sementara itu, enam individu awam yang turut ditahan dikenakan perintah reman antara dua hingga lima hari.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati dua individu awam positif methamphetamine, manakala seorang lagi mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Rampasan dadah seberat 96.64 kilogram itu dianggarkan berpotensi menjejaskan seramai 483,000 individu sekiranya berjaya diedarkan.
“Selain tangkapan dan rampasan, JSJN turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 membabitkan penyitaan dua kenderaan jenis Honda CR-V dan Toyota Vios bernilai keseluruhan RM126,062,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dihukum mati, sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
Tegas beliau, JSJN tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah tanpa mengira pangkat, jawatan, kedudukan atau organisasi yang diwakili.
“Tiada individu yang kebal daripada undang-undang dan tiada sindiket yang terlalu berpengaruh untuk ditumpaskan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE














