SKUAD B-16 negara tidak ada pilihan lain kecuali perlu menewaskan India untuk membuka laluan ke pusingan akhir Piala Asia B-17. - FB MALAYSIA NT

Misi ‘hidup mati’ skuad B-16

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGENDALI skuad Bawah 16 Tahun (B-16) negara, Shukor Adan sudah memiliki gambaran mengenai kekuatan India menjelang perlawanan ‘hidup mati’ pada aksi terakhir Kumpulan E kelayakan Piala Asia B-17 2027 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam ini.

Walaupun keputusan aksi Palestin dan Singapura berpotensi mempengaruhi kedudukan akhir kumpulan, magis Shukor yang pernah memacu skuad B-19 negara layak ke Piala Asia B-20 sekali lagi ditagih bagi menghidupkan impian skuad muda ke pentas Asia.

Secara matematiknya, peluang Malaysia untuk melayakkan diri ke pusingan akhir masih terbuka, justeru perhatian kini perlu diberikan sepenuhnya kepada persiapan sendiri, khususnya memastikan jentera serangan lebih tajam.

Selepas membuka kempen dengan kekalahan kepada Palestin, Shukor turut mengingatkan anak-anak buahnya supaya tidak leka memandangkan India hadir dengan reputasi sebagai antara pencabar utama untuk menjuarai Kumpulan E.

Mengulas persiapan pasukan, Shukor melancarkan perang psikologi apabila mengambil pendekatan ‘kunci mulut’ dan enggan mendedahkan gambaran perancangan taktikal yang bakal digunakan bagi merencatkan cabaran India.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan barisan kejurulatihan sudah mengumpulkan maklumat penting mengenai kekuatan lawan selepas meneliti serta menganalisis corak permainan India dalam tiga perlawanan terdahulu.

“Saya sudah katakan kepada pemain, lupakan kejayaan ini (kemenangan ke atas Guam), kita kena buka buku baharu untuk menentang India. Biarlah rahsia (pelan untuk lawan India).

“Kita akan fokus dan sudah membuat analisis prestasi mereka, jadi kita tengok nanti bagaimana pendekatan pada perlawanan itu,” katanya.

Dalam masa sama, Shukor mengharapkan kehadiran seramai mungkin penyokong ke stadium bagi memberikan tekanan kepada India, sekali gus menjadikan aksi penentuan itu malam yang sukar buat pasukan pelawat.

Hanya juara setiap kumpulan pada peringkat kelayakan akan mara ke pusingan akhir Piala Asia B-17 yang dijadualkan berlangsung di Uzbekistan, tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN