LISBON – Satu lagi tugas berat menanti pengurus Manchester United, Mauricio Pochettino untuk mempertahankan maruah pasukan pada aksi sulungnya bersama The Red Devils di pentas Liga Juara-Juara (UCL) bertemu Sporting Lisbon, awal pagi esok.
Pengurus dari Argentina itu mahu segera melupakan mimpi ngerinya pada debut bersama pasukan selepas kalah 0-4 kepada Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan berazam untuk mengubah skrip kecewa dialami United.
Berdasarkan rekod pentas Eropah, prestasi The Red Devils agak baik dengan memperoleh dua kemenangan dalam empat perlawanan awal dan peluang masih terbuka untuk mara ke pusingan kalah mati.
“Kami perlu mengangkat semula semangat dan menyalurkan kemarahan menjadi tenaga untuk menghadapi perlawanan seterusnya. Dalam situasi seperti ini, kami perlu perlu ubah perkara negatif jadi positif dan kami kena berusaha dua kali ganda dan memberikan perhatian kepada setiap perkara.
“Kami berada di sini bukan untuk mencari alasan sebaliknya memperbaiki keadaan bersama-sama dan mencapai kejayaan. Perjalanan kami sebagai satu pasukan sudah pun bermula dan kini kami kena teruskannya,” katanya.
Sementara itu, tonggak tengah United, Kobbie Mainoo menegaskan seluruh pemain tetap bersatu dan bersedia memberikan sokongan penuh kepada Pochettino bagi mengharungi fasa sukar berkenaan.
“Kami semua komited, tiada siapa akan meninggalkan pasukan dan kami saling bergantung antara satu sama lain. Kami tahu apa yang perlu dilakukan bersama pengurus baharu dan kami perlu memberikan sokongan kepadanya,” katanya. – AGENSI














