PETALING JAYA – Tindakan sekumpulan kanak-kanak melakukan aksi ‘rempit’ dengan menunggang basikal lajak di jambatan ketiga dari Tanjung Shawal di Klang mengundang kebimbangan orang ramai.
Ini kerana dakwa pengguna, aksi kanak-kanak itu boleh membahayakan bukan sahaja kepada pengguna jalan raya lain, malah kepada kanak-kanak itu sendiri.
Menerusi perkongsian di aplikasi Threads, seorang pengguna dikenali sebagai Topbodyautogarage berkata, dia pernah menegur kanak-kanak terbabit sebelum ini.
“Anak sape ni? Harap ibu bapa peka ye, bukan apa bahaya tu. Cakap tak mahu dengar, maaflah ibu bapanya.
“Kejadian di jambatan ketiga dari Tanjung Shawal Klang,”tulisnya.
Berdasarkan klip video yang dikongsi, kanak-kanak terbabit melakukan aksi ‘superman’ dengan basikal masing-masing semasa menuruni jambatan terbabit.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut mengecam aksi terbabit yang dianggap mereka sengaja mencari nahas.
“Pernah tau terserempak dengan dorang ni kat jambatan ni juga. Sikit lagi nak kena langgar, bahaya wei,”tulis Nursherinnaa.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Anachelita.
“La malam tadi kami lalu dari Sungai Udang menghala Tanjung Shawal jam 10.42 malam, dorang ni dah berkumpul sebelum naik jambatan nak berlumba.
“Ibu bapa tolong la ambil tahu keberadaan anak-anak anda, sepatutnya jam 7 petang sudah siap-siap berada di rumah untuk solat maghrib. Dari segi fizikal memang nampak anak-anak yang masih bersekolah rendah,”katanya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














