Anwar ketika mendengar penerangan semasa hadir pada Majlis Pelancaran Prakarsa AI Pendidikan Negara: AI TEMU AI di Putrajaya hari ini.

Ibu bapa wajib hadir ke sekolah terima wang BAP – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Ibu bapa perlu hadir sendiri ke sekolah untuk menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM200 bagi setiap anak pada tahun depan, bukannya wang berkenaan diserahkan terus ke rumah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan memastikan ibu bapa mengetahui perkembangan persekolahan anak masing-masing selain berpeluang bertemu guru untuk mendapatkan nasihat berkaitan pendidikan dan disiplin anak-anak.

“Sebab itu saya beritahu kepada Kementerian Pendidikan, untuk tahun depan, semua anak-anak akan dapat RM200. Tetapi berdasarkan pengalaman, kita minta ibu bapa datang ke sekolah. Kita tidak serah wang itu ke rumah.

“Kerana kita nak ibu bapa itu tahu sekolah anaknya, jumpa guru-guru dan guru boleh beri nasihat. Jadi, harus tahu bahawa yang membantu mendidik anak-anak mereka itu ialah para guru. Dan kalau tak datang ke sekolah, Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan), jangan bagi wang itu,” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran Prakarsa AI Pendidikan Negara: “AI TEMU AI” di sini hari ini.

Anwar turut meminta guru besar dan pengetua mengatur satu acara yang membolehkan ibu bapa, murid serta guru bertemu bagi membincangkan perkembangan dan tingkah laku anak-anak di sekolah.

Anwar berkata, pendidikan disiplin dan pembentukan akhlak perlu bermula sejak kecil bagi mengelakkan sikap negatif seperti mencuri dan membuli terbawa-bawa sehingga dewasa.

“Dah besar esok, curi projek. Kecil-kecil diajar pukul orang. Bila besar besok, jadi samseng. Tak boleh,” katanya.

Beliau berkata, sistem pendidikan bukan sekadar memberi penekanan kepada penguasaan ilmu dan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), sebaliknya perlu melahirkan insan yang mempunyai pertimbangan akhlak dan disiplin.

“AI satu bidang kepintaran ilmu. Tetapi ilmu itu untuk siapa? Untuk manusia. Anak-anak ini nak didik jadi manusia yang baik. Manusia yang baik itu ada pertimbangan akhlaknya, ada disiplinnya. Jadi harus dilatih daripada awal,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pembangunan pendidikan negara perlu bergerak seiring antara penguasaan teknologi moden dengan pengukuhan nilai agama, akhlak, keperibadian dan kemanusiaan.

Beliau berkata, prinsip itu selari dengan kerangka pembangunan pendidikan negara yang mengangkat gagasan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’.

“Jadi AI ini teknologi baharu untuk menggapai di langit, taraf kecanggihannya itu menakjubkan.

“Tetapi untuk menyelamatkan kita, akidah kita, akhlak, keperibadian, kemanusiaan, kita mesti sementara kita menggapai di langit, perlu mengakar di bumi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN