KUALA LUMPUR – Lebih 10 tahun tidak bertemu, pensyarah juga pengarah filem, Prof. Madya Datuk Dr. A Razak Mohaideen, 61, masih tidak dapat melupakan sikap profesional dan disiplin tinggi Allahyarham Cico Harahap setiap kali bekerjasama di lokasi penggambaran.
Pengarah filem Mami Jarum itu juga menyifatkan pemergian anak seniwati Uji Rashid itu itu sebagai kehilangan anak seni berbakat yang banyak menjayakan filem arahannya, suatu ketika dahulu.
Razak berkata, Cico atau nama sebenar, Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin, 48, memiliki kelebihan bakat tersendiri dalam bidang lakonan, selain sentiasa sangat berdedikasi dalam setiap amanah yang dipikul sebagai pelakon.
“Bakat arwah bagus, hasil kerjanya juga bagus dan dia sangat berdisiplin. Setiap kali bekerja bersama, arwah memberi kerjasama yang baik serta menunjukkan dedikasi tinggi.
“Arwah juga tahu menghormati orang lain dan sentiasa profesional ketika bekerja,” katanya ketika dihubungi BH Onlien di sini, hari ini.
Berkongsi mengenai pertemuan terakhir mereka, Razak berkata, dia sudah lebih 10 tahun tidak bertemu atau berhubung dengan pelakon itu.
Bagaimanapun, katanya, Razak pernah mendapat khabar mengenai keadaan kesihatan arwah Cico yang dikatakan semakin merosot kira-kira empat atau lima tahun lalu.
“Saya ada dengar dia sakit dan selepas itu memang tidak berjumpa dengannya lagi. Cuma, saya ada berjumpa dengan ibunya.
“Sudah lama sangat saya tidak berjumpa dengannya, mungkin lebih 10 tahun. Saya sendiri sudah tidak ingat filem terakhir yang kami jayakan bersama.
“Selepas itu, kami tidak lagi berhubung. Kali terakhir saya mendapat tahu, arwah menghidap penyakit. Sebab itu, saya tidak lagi memanggilnya untuk berlakon kerana difahamkan dia kurang sihat,” katanya.
Antara filem arahan Razak yang turut dibintangi Allahyarham Cico ialah Anak Mami The Movie dan Mami Jarum yang ditayangkan pada 2002, selain Mistik dan Jutawan Fakir pada 2003.
Hari ini, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Ampang, sekitar pukul 11 pagi tadi.
Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Sandakiah Azez kepada Harian Metro.
Sandakiah berkata, Allahyarham Cico dimasukkan ke hospital berkenaan sejak seminggu lalu akibat mengalami kesukaran bernafas.
















