SEBUAH kapal kargo asing ditahan selepas didapati bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan kira-kira 4.3 batu nautika barat daya Pulau Jarak, Lumut semalam.

Kapal kargo asing bersauh tanpa kebenaran di perairan Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal kargo asing selepas dikesan bersauh tanpa kebenaran di perairan Perak, semalam.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Zainudin Mohd. Zuki berkata, kapal berdaftar di Gambia itu dikesan pada kedudukan kira-kira 4.3 batu nautika barat daya Pulau Jarak dekat sini.

Katanya, kapal tersebut dikesan menerusi radar Sistem Pengawasan Maritim (SWASLA) Lumut sebelum maklumat disalurkan Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak kepada aset penguatkuasaan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan dikendalikan oleh 21 kru terdiri daripada 11 warga Pakistan, lapan warga Iran dan dua warga Indonesia.

“Pemeriksaan mendapati kapal tersebut disyaki melakukan dua kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia dan gagal memaklumkan ketibaan vesel di perairan Malaysia,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, susulan penahanan kapal berkenaan, nakhoda dan ketua jurutera vesel dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak bagi membantu siasatan.

“Dokumen berkaitan kapal turut disita untuk tindakan lanjut oleh Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia. Kes disiasat mengikut peruntukan berkaitan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN