TENOM – Perjalanan pulang seorang lelaki dari kebun berakhir tragedi selepas dia digilis kereta api di landasan kereta api, di sini, petang tadi.
Mangsa berusia 63 tahun ditemukan tersepit di bawah gerabak kereta api yang dalam perjalanan dari Beaufort menuju ke Tenom.
Lelaki yang mempunyai masalah pendengaran itu dipercayai menggunakan troli kayu buatan sendiri untuk bergerak melalui landasan kereta api dari Kampung Pangi menuju ke Pekan Tenom.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Mudi Pengiran berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis berhubung kejadian itu pada pukul 1.20 tengah hari.
Beliau berkata, seramai enam anggota bersama jentera dikerahkan ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, didapati seorang lelaki berada di bawah gerabak.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dan dipindahkan ke tempat selamat menggunakan pengusung sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mudi berkata, pasukan bomba berdepan kesukaran untuk sampai ke lokasi kejadian kerana akses terhad dan tidak dapat dilalui jentera bomba.
Katanya, anggota terpaksa mendapatkan bantuan penduduk kampung yang menyediakan troli bermotor buatan sendiri untuk meneruskan perjalanan ke lokasi kejadian.
“Mangsa yang mengalami patah tulang kaki dan badan serta kecederaan di kepala kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya yang memaklumkan operasi tamat pukul 2.04 petang.














