BRASILIA – Seorang lelaki warga emas yang menghidap penyakit Alzheimer terselamat selepas melalui detik mencemaskan selama 11 hari akibat sesat di hutan Amazon di Brazil, lapor saluran berita The Sun UK.
Janarino Ferreira dos Santos, 74, berjaya ditemui dan diselamatkan di hutan hujan tersebut selepas menghabiskan masa berhari-hari seorang diri dengan memakan buah beri liar dan tidur di atas timbunan daun.
Mangsa yang berasal dari Macapa di timur laut Brazil itu dilaporkan hilang dari rumahnya yang terletak berhampiran pinggir hutan hujan berkenaan ketika ahli keluarganya sedang melawat jiran.
Semasa sesat di dalam belukar tebal itu, warga emas tersebut hanya berjalan berpusing-pusing di kawasan yang sama sementara menunggu bantuan tiba.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan secara besar-besaran itu melibatkan ahli keluarga, sukarelawan serta pasukan keselamatan awam yang terpaksa berdepan dengan bentuk muka bumi dan keadaan hutan yang sukar.
Anggota bomba dan pasukan khas menggunakan kaedah pencarian darat, helikopter, dron, dan kamera pengimejan terma bagi mengesan kedudukan mangsa.
Usaha pencarian akhirnya membuahkan hasil apabila pasukan penyelamat menemui Janarino sedang duduk di kawasan yang gelap dalam keadaan berkaki ayam dan hanya berseluar dalam.
Mangsa yang berada dalam keadaan sangat lemah tidak mampu bercakap mahupun berjalan serta mengalami dehidrasi teruk ketika ditemui. – AGENSI














