TANJUNG MALIM – Dua penyanyi dan seorang pelakon terkenal negara membuktikan pengalaman dalam dunia seni menjadi landasan mencapai kejayaan dalam bidang akademik apabila masing-masing meraih Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Majlis Konvokesyen ke-28 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini.
Bagi penyanyi Tomok, Anis Suraya dan pelakon veteran Zulkifli Ismail, kejayaan menyelesaikan pengajian secara APEL Q itu hasil usaha keras mereka untuk membuktikan kerjaya seni perlu seiring dengan peningkatan taraf pendidikan.
Menurut Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 42, keputusannya menyambung pengajian didorong untuk mengembangkan pengetahuan serta berkongsi pengalaman profesional dengan masyarakat khususnya mereka yang berminat menceburi industri muzik.
“Saya merasakan pengalaman selama 25 tahun dalam industri muzik boleh dijadikan sebagai panduan yang harus dikongsikan kepada orang ramai yang berminat dengan industri ini.
“Di samping itu, saya juga ingin mengukuhkan kedudukan dan keseimbangan dalam bidang akademik supaya pengalaman penggiat seni turut dihargai sebagai satu bentuk pembelajaran,” katanya di UPSI Kampus Sultan Azlan Shah, Bandar Proton di sini hari ini.
Bagi Anis Suraya, 45, keputusan menyambung pengajian tersebut didorong keinginan memperkukuh pengetahuan serta memahami pengalaman profesional yang dikumpul sepanjang kerjaya seninya melalui pendekatan akademik yang lebih sistematik.
“Penglibatan sebagai pensyarah sambilan bagi kursus Seni Suara di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sejak 2018 turut menyedarkan saya tentang kepentingan penguasaan teori, metodologi dan pedagogi dalam pendidikan seni.
“Dorongan utama saya bukan semata-mata untuk memperoleh ijazah tetapi untuk memperluas keupayaan intelektual dan memperkukuh hubungan antara amalan profesional dengan pengetahuan akademik,” kata pemilik nama Tengku Ani Soraya Tengku Abdullah Sulaiman ini.
Pelakon veteran, Zulkifli Ismail, 63, pula berpendapat, selepas empat dekad mewarnai industri lakonan tanah air menerusi lebih 300 produksi, dia dapat membuktikan pengalaman luas dalam bidang seni mampu diperkukuh dengan ilmu akademik. – KOSMO! ONLINE














