PUTRAJAYA – Bukan sekadar gelaran, sebaliknya tanggungjawab yang perlu digalas, itu peringatan yang sentiasa disemat dalam jiwa aktor berkaliber, Datuk Eman Manan selepas dianugerahkan gelaran Datuk bersempena Ulang Tahun Ke-64 Hari Keputeraan Sultan Terengganu pada 6 September lalu.
Eman atau nama sebenarnya Abd. Manan Embong, 68, berbesar hati menyambut baik penganugerahan tersebut namun menegaskan tiada perkara yang akan mengubah dirinya, termasuk soal bayaran atau ‘demand’ hanya pada watak tertentu.
“Saya kali pertama buat kenyataan ini kerana sebelum ini saya tidak menyahut rayuan wartawan untuk mengulas tentang gelaran tersebut. Ini merupakan satu pengiktirafan kerajaan negeri dan Kebawah Duli Tuanku Sultan kepada saya, alhamdulillah.
“Pengiktirafan ini bukan kerana apa yang akan datang tetapi atas usaha yang sebelum ini.
“Oleh kerana gelaran tersebut berdasarkan perkara yang sudah berlalu, maka biarlah saya kekal begitu sahaja (watak dan pendirian),” katanya kepada Kosmo! Online di sini, semalam.
Ditemui pada tayangan gala dan sidang media filem terbaharunya, Takluk 2: Op Daulat, Eman tidak menafikan status baharu itu hadir bersama amanah lebih besar terhadap industri seni tanah air.
“Saya rasa itu adalah salah satu tugas saya. Sekarang saya melihat perkembangan filem semakin besar dan panggung wayang juga semakin banyak.
“Sekarang sudah banyak institusi dan kolej yang mengajar tentang lakonan, di mana anak muda sudah melihat bahawa lakonan ialah satu ilmu yang harus dipelajari, bukan seperti rumput di tepi jalan yang tumbuh sendiri apabila dipotong,” jelasnya.
Bagi memastikan kualiti karya tempatan terus membanggakan, Eman menekankan kepentingan ilmu pengetahuan dalam kalangan pelapis baharu agar setiap naskhah yang dihasilkan mampu mengangkat hasil seni negara di peringkat lebih tinggi.
“Apabila generasi yang berilmu dan dididik secara khusus ini lahir, mereka akan lebih yakin, memilih naskhah yang tepat, dan menghasilkan kerja yang bagus.
“Tugas industri ini bukan hanya memberi hiburan semata-mata tetapi memperkenal dan mempersembahkan budaya, bangsa, serta negara kita kepada masyarakat,” katanya lagi.
Terdahulu, Eman dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.) bersempena Ulang Tahun Ke-64 Hari Keputeraan Sultan Terengganu.
Eman tersenarai sebagai penerima bagi mengiktiraf sumbangan dan jasanya dalam bidang seni serta industri lakonan tanah air.
Dalam perkembangan lain, Eman kembali menggalas watak Raja Iskandar, seorang pengganas dalam filem Takluk 2: Op Daulat arahan Zulkarnain Azhar.
Filem yang turut dibintangi Syafiq Kyle, Kamal Adli, Remy Ishak dan Fadlan Hazim itu bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 26 November (Khamis) ini. – KOSMO! ONLINE














