NIBONG TEBAL – Mayat seorang lelaki disyaki mangsa bunuh, dijumpai dengan separuh badannya terbenam dalam lumpur di tebing tali air di Kampung Baru, Ladang Byram di sini, semalam.
Mangsa dipercayai warga tempatan itu ditemui orang awam sebelum memaklumkan kepada polis kira-kira pukul 11 malam tadi.
Hasil pemeriksaan awal polis dan pasukan forensik di lokasi kejadian mendapati ada kesan kecederaan pada kepala mangsa, selain kesan darah berhampiran tali air itu.
Polis mengambil masa beberapa jam untuk memeriksa kawasan sekitar sebelum menamatkan siasatan di lokasi kira-kira pukul 6 pagi tadi.
Laluan berkenaan lazimnya digunakan penduduk kampung untuk ke sungai dan sangkar ikan berhampiran.
Sementara itu Penyelia Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal, Mohd Faizal Khan Mohd Hassan, berkata pasukannya dipanggil membantu polis mengeluarkan mayat berkenaan.
“Mayat masih sempurna itu ditemukan terbenam dalam lumpur. Anggota bomba membantu mengangkatnya keluar sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sekitar jam 2.45 pagi,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Sementara itu Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim, mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Identiti mangsa masih belum dikenal pasti, setakat ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.














