DUNGUN – Polis mengeluarkan 137 saman kepada pelajar dan menyita 26 motosikal dalam operasi khas di kawasan perindustrian Batu Tujuh dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat berkata sebanyak 81 penunggang dan pembonceng serta 72 motosikal diperiksa dalam operasi berkenaan yang bermula 5 petang hingga 10 malam.
Beliau berkata kesemua pelajar yang diperiksa berusia antara 14 hingga 16 tahun dengan kesalahan dilakukan termasuk tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan serta mengubah suai kenderaan.
“Operasi dijalankan berdasarkan maklumat orang awam berhubung kegiatan sekumpulan penunggang motosikal, khususnya pelajar sekolah yang sering berkumpul dan menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media hari ini.
Ab Halim berkata pihaknya akan memanggil pemilik motosikal termasuk ibu bapa yang berdaftar sebagai pemilik kenderaan yang disita ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun bagi urusan tindakan lanjut dan pengeluaran saman.
Beliau berkata polis turut mengenal pasti beberapa lokasi lain yang dipercayai menjadi tempat remaja berkumpul dan melakukan aktiviti menunggang motosikal secara berbahaya.
“Operasi seumpama ini akan diteruskan secara berterusan dan berskala besar di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti bagi membendung kegiatan berkenaan,” katanya. – BERNAMA














