Gambar hiasan.

MB, Exco baharu elak kemelut berpanjangan – Pakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Kerajaan pimpinan baharu di Negeri Sembilan mungkin terbentuk bagi menghentikan kemelut politik berpanjangan di negeri itu.

Perkembangan itu dilihat membuka ruang kepada penyusunan semula pentadbiran negeri, termasuk kemungkinan pertukaran Menteri Besar dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), meskipun tidak semestinya membabitkan perubahan blok parti yang membentuk kerajaan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Dr Muhamad Fuad Abdul Karim berkata, kemungkinan pembentukan kerajaan baharu di negeri itu berada dalam kedudukan ‘ya dan tidak’.

Beliau berkata, kemungkinan itu boleh berlaku dari sudut penyusunan semula pentadbiran menerusi pertukaran Menteri Besar dan barisan Exco, susulan konsensus 24 daripada 25 ADUN BN dan PN di Seremban.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak semestinya bermaksud berlaku peralihan blok parti pemerintah memandangkan gabungan sedia ada masih menguasai majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN), selain sebarang keputusan tertakluk sepenuhnya kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Dr. Mohd Rizam Md Ladin berpandangan, Negeri Sembilan kini berada di ambang perubahan tampuk kepimpinan susulan kesepakatan 24 ADUN BN dan PN untuk tidak lagi mengekalkan Datuk Seri Ismail Lasim sebagai Menteri Besar.

Beliau berkata, satu warkah dijangka dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, manakala barisan pemimpin tertinggi UMNO dan BN pula dijadual menghadap baginda bagi merungkai kemelut berkenaan sebelum persidangan DUN bermula.

Menurutnya, pelantikan segera peneraju baharu dilihat sebagai langkah terbaik untuk mengembalikan kestabilan pentadbiran negeri yang sekian lama dibelenggu ketidaktentuan politik.

“Justeru, penyelesaian segera perlu dicapai bagi memastikan urusan pentadbiran kembali berjalan lancar, terutama ketika DUN dijadual bersidang minggu depan dan Belanjawan 2027 dibentangkan awal Disember ini,”katanya.

Dalam perkembangan terbaharu, tiga pemimpin BN dan UMNO dijangka menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap hari ini.

Mereka ialah Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN