JAKARTA – Seorang warga emas maut selepas diserang kawanan tebuan ketika sedang mencari rumput di Desa Jimbaran, Daerah Pasuran, Jawa Timur semalam, lapor saluran berita Lambe Turah.
Mangsa, Supandi, 65, dilaporkan sempat terjatuh dan berguling-guling di atas tanah sambil menjerit meminta pertolongan dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 10.30 pagi (waktu tempatan) itu.
Menurut laporan media tempatan, ketika kejadian, Supandi sedang dalam perjalanan mencari rumput yang merupakan rutin hariannya sebelum tiba-tiba diserang sekumpulan besar tebuan.
Menerusi rakaman video kejadian yang tular di media sosial, mangsa dilihat cuba melindungi bahagian kepalanya dengan menggunakan kedua-dua belah tangan sambil menjerit kesakitan akibat dihurungi serangga berbisa tersebut.
Supandi cuba untuk bangun menyelamatkan diri, namun dia rebah semula di hadapan beranda salah sebuah rumah penduduk.Â
Jeritan mangsa menarik perhatian orang ramai yang kemudiannya bergegas untuk memberikan bantuan.
Walau bagaimanapun, usaha menyelamatkan mangsa berdepan kesukaran berikutan kumpulan tebuan terbabit masih mengerumuni tubuhnya, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk yang takut turut menjadi mangsa sengatan.
Seorang penduduk tempatan, Ahmad Arif mengesahkan mangsa meninggal dunia kira-kira setengah jam selepas serangan itu berlaku.
“Lebih kurang 30 minit selepas kejadian, mangsa akhirnya menghembuskan nafas terakhir,” katanya ketika ditemui pemberita. – AGENSI














