PAK RON menunjukkan siakap yang berjaya dinaikkannya di Sungai Merbok.

Siakap Sungai Merbok boleh diburu sepanjang tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONTARAN yang sedikit tersasar dari lubuk boleh menyebabkan umpan atau gewang terkorban ketika ingin menerjah sarang ikan ‘samseng’ muara.

Hakikatnya, tiada peluang untuk pengilat menyelamatkan umpan dan gewang kesayangan mereka sekiranya sudah tersangkut kemas di sarang siakap.

Bagaimanapun, sekiranya lontaran tepat di celah pokok tumbang atau struktur berpotensi, peluang untuk mendapat sambaran daripada siakap sangat tinggi.

Itulah harga perlu dibayar oleh pemancing yang ingin menduga siakap putih dan siakap merah di perairan Sungai Merbok, Sungai Petani, Kedah.

Menurut perkongsian pemburu spesies muara, Zuhairul Che Leh, siakap di Sungai Merbok menjadikan struktur seperti akar bakau, reba kayu dan pokok tumbang sebagai sarang berteduh serta kubu untuk melakukan serangan hendap.

“Biasanya, anak ikan atau spesies juvenil menjadikan kawasan berstruktur sebagai spot permainan, terutamanya ketika air mula pasang. Ini mengundang kehadiran siakap.

“Berdasarkan pengalaman saya, siakap di sini lebih kerap meragut umpan dalam radius kawasan struktur.

“Jika sedikit tersasar, ‘cukai’ atas air adalah satu benda wajib sekiranya kita gagal mengawal permainan dan drag kekili dengan baik.

“Siakap di Sungai Merbok ini lebih memilih untuk menjunam masuk ke reba atau struktur, berbanding keluar di kawasan terbuka untuk meluahkan mata kail,” katanya.

Umpan udang seret, gewang jenis minnow atau soft plastic adalah pilihan terbaik untuk menduga spesies pemangsa di Sungai Merbok.

Namun, penggunaan gewang jenis selaman dan soft plastic mengundang risiko lebih tinggi berbanding udang seret.

Ini kerana, spesies pengacau seperti ikan buntal lebih suka memotong ekor soft plastic, sementara gewang pula kerap sangkut di kawasan struktur.

Perkara tersebut membuatkan Zuhairul atau Pak Ron lebih memilih untuk menggunakan umpan udang seret ketika turun mengilat di Sungai Merbok.

Pak Ron memilih setup berkekuatan sederhana berat bagi menahan asakan siakap.

Dalam pada itu, Pak Ron menasihatkan pemancing supaya bahagian ekor udang dipotong sebelum dijadikan umpan.

“Ekor udang perlu dipotong supaya aksinya tidak berpusing atau melilau ketika karauan dilakukan.

“Udang hidup yang digunakan sesuai dipasang pada mata kail jenis Daichi saiz lima supaya aksinya lebih seimbang.

“Bagi pemberat, saya sering guna antara berat 7 sehingga 10 gram bergantung kepada arus semasa muara.

“Untuk tekniknya pula, lakukan karauan secara perlahan dan sekata, diselangi dengan rentapan secara pantas (jerk) untuk memikat pemangsa,” jelasnya.

Sementara itu, bagi pemilihan tetapan memancing, Pak Ron lebih memilih setup berkekuatan sederhana berat bagi menahan asakan spesies yang penuh dengan muslihat itu.

“Saya menggunakan kekili Shimano Conquest Calcutta 101 yang dipadankan bersama joran Shimano Bass One 10-20LB.

“Pilihan tali utama pula adalah Sufix 832 berkekuatan 30lb dan disambungkan dengan tali leader jenis Yozuri 100% Fluorocarbon 60lb.

“Saiz tali ini sangat penting kerana sedikit kecuaian boleh menyebabkan tali bergesel dan putus sekelip mata.

“Jadi, setup seperti ini sudah memadai bagi saya untuk mengawal permainan dan menahan asakan spesies samseng di radius kawasan berstruktur serta berisiko,” katanya.

Dengan menggunakan peralatan memancing seperti yang dinyatakan, pemancing dari Kulim, Kedah itu telah berjaya mendaratkan siakap putih dengan berat 6.2 kilogram dalam pertarungan kurang daripada 10 minit.

Realitinya, bukan saiz ikan menjadi ukuran, sebaliknya cabaran di kawasan lapangan yang sentiasa menjadi kegilaan pemancing.

Air muara yang sentiasa berubah mengikut pasang surut laut dan arus tidak menentu menjadikan setiap trip satu pengalaman berbeza.

Menariknya, pemancing tidak perlu menunggu ‘peak season’ jika berhasrat mengatur trip di Sungai Merbok kerana spesies pemangsa itu aktif sepanjang tahun. Kepada yang berhasrat mengatur trip di sini, anda digalakkan menggunakan khidmat tekong tempatan.

Tekong Mizan adalah antara yang berpengalaman dengan selok-belok Sungai Merbok serta lubuk berpotensi.

“Penggunaan tekong tempatan sangat disarankan kerana mereka bukan sahaja arif tentang spot, malah sentiasa peka dengan perubahan air dan cara memujuk ikan.

“Pada masa sama, peluang untuk mendaratkan ikan dan keselamatan para pemancing juga lebih terjamin atas bimbingan tekong,” katanya.

Bagi yang berminat untuk menggunakan khidmat Tekong Mizan, pemancing boleh mendapatkan maklumat di aplikasi TikTok
Mie Zan8807.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN