MILLA meledak gol kemenangan Como ketika membenam AEK Athens sekali gus menjadi kemenangan ketiga berturut-turut di UCL. - AFP

UCL: Como puas cipta pencapaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

COMO – Como terus mempamerkan bisa dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) apabila mencatat kemenangan 1-0 ke atas AEK Athens pada perlawanan di Stadium Giuseppe Sinigaglia awal pagi semalam.

Turun sebagai tuan rumah, Como menampilkan corak permainan cukup baik apabila menguasai sebahagian besar perlawanan selepas melakukan 14 percubaan dengan empat percubaan tepat ke pintu gol.

Gol kemenangan menerusi pemain tengah, Luis Milla pada minit ke-57 memastikan Como mengutip tiga mata berharga dan meletakkan pasukan itu dalam landasan terbaik untuk ke pusingan seterusnya.

Jurulatih Como, Cesc Fabregas menyuarakan rasa gembira apabila pasukan itu berjaya mencipta nama di pentas Eropah biarpun pada awalnya hadir dengan status sebagai kelab kerdil yang dibarisi pemain muda.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan hari ini (semalam), tetapi apa yang paling penting adalah pemain-pemain saya dapat beraksi di pentas Eropah. Mereka mengutip pengalaman di peringkat antarabangsa.

“Kebanyakan pemain-pemain ini bermula dari peringkat remaja bersama saya selain bermain di Serie B. Dapat melihat perkembangan pemain seperti ini, ia menjadi satu kepuasan buat saya,” katanya.

Pengendali dari Sepanyol itu menjelaskan, sekiranya Como perlu mengharungi aksi playoff untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati, ia sudah cukup memadai buat pasukan yang baru membuat penampilan sulung di UCL.

“Kita sudah berada dalam separuh saingan dan hari ini (semalam) sangat penting kerana kami boleh dikatakan sudah sah untuk ke playoff menerusi kemenangan yang dicatat. Ini pun boleh dianggap impian jadi kenyataan.

“Kami perlu anggap setiap perlawanan seperti final kerana lawan kami adalah pasukan-pasukan terhebat dan berpengalaman. Jika kami tampilkan aksi seperti malam ini (semalam), ia sudah cukup baik buat Como,” ujar Fabregas. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN