KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa doktor, guru dan penjawat awam lain supaya tidak terlalu memilih lokasi penempatan sehingga enggan berkhidmat di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Beliau berkata, meskipun kerajaan bersedia mempertimbangkan penyesuaian penempatan sekiranya munasabah, keperluan rakyat di kawasan terpencil untuk mendapatkan perkhidmatan seperti dalam aspek kesihatan tetap perlu diutamakan.
“Ada juga masalah penempatan…tetapi kalau penempatan di mana boleh kita ubah suai, kita sesuaikanlah.
“Tetapi bagaimana kalau kita fikir pilihan? Siapa yang nak memilih jadi doktor di Kapit, (Sarawak) di Gua Musang, di Ulu Kelantan?,” katanya pada program ‘Dialog Negara’ yang disiarkan menerusi saluran TV1 dan aplikasi RTMKlik, malam ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, isu penempatan itu bukan sahaja melibatkan doktor, malah turut dihadapi penjawat awam lain termasuk jurutera dan guru.
Beliau berkata, penempatan penjawat awam di kawasan berkenaan penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat di pedalaman Sabah, Sarawak serta Semenanjung tidak terjejas. – BERNAMA














