Gambar hiasan.

Yuran rawatan asas di fasiliti kesihatan awam perlu dikekalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kadar yuran rawatan asas di fasiliti kesihatan awam perlu dikekalkan bagi memastikan golongan berpendapatan rendah tidak terbeban, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan tiada asas untuk kerajaan menaikkan yuran berkenaan memandangkan kenaikan kadar upah masih belum sepadan dengan pertumbuhan ekonomi dan kos sara hidup semasa.

“Apa asasnya nak letak RM10? Apa asasnya? Kalau orang itu mampu, okey saya setuju. Orang swasta umpamanya yang mampu, yang pendapatannya tinggi, dia duduk di hospital kerajaan kelas pertama bayarlah lebih…itu mungkin.

“Tetapi untuk membebankan rakyat susah kerana upah itu tidak naik setimpal dengan pertumbuhan ekonomi dan dengan kos walaupun inflasi kita memang rendah, apakah patut kita naikkan cukai ataupun bayaran bagi rakyat biasa? Saya tidak bersedia lakukan,” katanya pada program ‘Dialog Negara’, yang disiarkan menerusi saluran TV1 dan aplikasi RTMKlik, malam ini.

Program itu turut disiarkan secara serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS.

Caj rawatan pesakit luar bersubsidi di hospital dan klinik kesihatan awam di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) pada masa ini ditetapkan pada kadar RM1 bagi rawatan am dan RM5 untuk perkhidmatan pakar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sektor kesihatan kekal sebagai penerima peruntukan kedua terbesar dalam Belanjawan Madani selepas sektor pendidikan, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkasa kebajikan petugas serta kualiti perkhidmatan kesihatan awam.

Perdana Menteri berkata, kerajaan mengambil keputusan menamatkan sistem pengambilan doktor kontrak bermula 1 Januari 2027, yang disokong oleh penjimatan berpuluh bilion ringgit hasil penambahbaikan tatakelola serta ketegasan membanteras amalan rasuah dan ketirisan.

“Bila kita ambil keputusan untuk menamatkan doktor kontrak, itu bermakna kita ada peruntukan baharu. Hentikan kerja kontrak-kontrak tipu ini. Saya istilah sakau orang tak suka….ini memang betul sakau.

“Dia tak tahu kita selamatkan berpuluh bilion ringgit kerana tatakelola yang lebih ketat. (Mereka ini) tak ada runding-runding, sapu RM200 juta hingga RM300 juta bawah karpet. Dia mesti (ada) tender. Wang ini kita pulangkan pada rakyat,” kata beliau.

Beliau berkata penjimatan dana kerajaan itu turut membolehkan kerajaan menyalurkan peruntukan besar kepada rakyat tanpa perlu menaikkan cukai atau mengurangkan subsidi asas, termasuk RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), RM18 bilion untuk pelarasan gaji penjawat awam serta RM40 bilion bagi mengekalkan subsidi minyak.

Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh keperluan penempatan doktor di kawasan pedalaman dan luar bandar, selain mengingatkan masyarakat membudayakan gaya hidup sihat termasuk mengurangkan pengambilan gula dan mengamalkan senaman bagi mengekang peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan obesiti.

Barisan panel terlibat dalam program Dialog Negara ialah Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah Datuk Ahyat Ishak; Pengarah Strategi Kumpulan KRA Amir Fareed Rahim; Pegawai Perubatan yang juga pempengaruh media sosial Dr Malar Santhi Santherasegapan serta Usahawan dan Pencipta Kandungan Digital Adam Shamil.

Turut terlibat Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekusif PlusVibes Group Dr Madiha Fuad; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad Azmi Zainal; Pendakwah Bebas Izzhar Nazri; Pengasas Architects of Diversity (AOD) Malaysia Jason Wee dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali. — BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN