Kerugian ekonomi akibat jerebu sahaja dianggarkan mencecah sehingga RM1.5 bilion sebulan.

Perubahan iklim cipta tekanan ekonomi, golongan B40 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

KUALA LUMPUR – Kejutan perubahan iklim seperti gelombang haba, jerebu dan kemarau semakin memberi tekanan kepada ekonomi negara, terutama kepada golongan berpendapatan rendah.

Penolong Pengurus Penyelidikan (Iklim dan Kemampanan) Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, Jazreen Harith Jefri berkata, kesan perubahan iklim bukan lagi sekadar ancaman masa depan apabila Malaysia mulai berdepan peningkatan episod jerebu dan suhu panas.

Katanya, kerugian ekonomi akibat jerebu sahaja dianggarkan mencecah sehingga RM1.5 bilion sebulan, merangkumi kehilangan produktiviti, kos penjagaan kesihatan, gangguan persekolahan serta kesan berantai terhadap sektor perdagangan dan pelancongan.

“Malaysia perlu bersedia menghadapi kejutan gelombang haba dengan membina daya tahan tenaga bersih dari sekarang, termasuk melindungi isi rumah yang mudah terjejas, memperkukuh daya tahan masyarakat luar bandar serta mengurangkan kebergantungan kepada grid elektrik dan rantaian bekalan.

“Usaha ini penting sebelum kejutan iklim seterusnya melanda,” katanya membentangkan kajian berkaitan akauntabiliti dan daya tahan perubahan iklim secara online hari ini.

Menurut Jazreen, Malaysia merekodkan musim jerebu paling buruk dalam tempoh lebih sedekad pada tahun ini, dengan Kuala Lumpur mencatatkan 20 hari pada tahap kualiti udara tidak sihat dan 36 hari pada tahap tidak baik.

Tambahnya, sebagai perbandingan, dalam tempoh empat tahun sebelumnya, tiada hari direkodkan dengan kualiti udara tidak sihat, manakala hanya satu hari mencatatkan kualiti udara tidak baik.

Katanya, Kuching di Sarawak turut berdepan keadaan lebih buruk apabila merekodkan lapan hari dengan kualiti udara sangat tidak sihat, 30 hari tidak sihat dan 38 hari pada tahap tidak baik, berbanding tiada hari sedemikian dalam tempoh empat tahun sebelumnya.

“Sebahagian besar punca jerebu berpunca dari luar sempadan negara, termasuk Indonesia yang mencatatkan kehilangan kawasan hutan tertinggi sejak fenomena El Nino pada 2015, sekali gus menjadikan isu itu memerlukan pendekatan penyelesaian di peringkat serantau,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, peningkatan suhu dan kemarau berpotensi membawa kerosakan lebih berpanjangan berbanding jerebu, khususnya terhadap sumber pendapatan masyarakat luar bandar yang masih kurang diberikan perhatian.

Katanya, ketika episod kemarau teruk akibat El Nino sebelum ini, hasil padi dan tanaman pekebun kecil merosot lebih 50 peratus, khususnya di Kedah dan Perlis yang menjadi antara jelapang padi utama negara.

Menurutnya, kekurangan air dalam empangan yang membekalkan sistem pengairan menyebabkan musim penanaman terpaksa dihentikan, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan pesawah.

“Bagi pesawah, kehilangan satu musim penanaman bermakna kehilangan pendapatan untuk sepanjang tahun, dan kesannya tidak dirasai secara sama rata.

“Golongan B40 dan masyarakat Orang Asli mengalami kerugian lebih besar bagi setiap isi rumah kerana mereka mempunyai simpanan yang sangat terhad atau langsung tiada simpanan untuk menghadapi kejutan seperti ini.

“Keadaan itu boleh menyebabkan isi rumah terjerumus dalam beban hutang, malah memaksa anak-anak berhenti sekolah,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN