TAHUN 2026 boleh disifatkan sebagai tempoh gemilang buat Hannah Delisha selaku pelakon dan penyanyi, namun dalam meniti perjalanan karier seninya, kritikan tidak dianggap pembunuh impian, sebaliknya cabaran terus kekal bertahan saat tubuh terasa lelah.

‘Malaikat hari ini, mungkin esok mereka panggil saya syaitan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI SEBALIK gemerlapan dunia glamor yang menjanjikan populariti dan sanjungan, tersembunyi harga mahal yang perlu dibayar seorang anak seni apabila kehidupan peribadinya turut menjadi santapan umum.

Bagi pelakon dan penyanyi, Hannah Delisha, semakin tinggi namanya menjulang, semakin luas ruang untuk menjadi sasaran kecaman, kritikan serta penghakiman masyarakat yang kadangkala tidak mengenal batas.

Namun, wanita berusia 30 tahun itu enggan menjadikan pandangan manusia sebagai penentu arah hidup, tetapi menerima segala tempias populariti sebagai sebahagian daripada pengorbanan memilih kerjaya dalam dunia hiburan.

HANNAH enggan menjadikan pandangan manusia sebagai penentu arah hidup, tetapi menerima tempias populariti sebagai sebahagian daripada pengorbanan apabila memilih kerjaya dalam dunia hiburan.

Produk hiburan

“Kita sebenarnya produk hiburan. Selagi orang mengenali kita, selagi itulah kita berpotensi menjadi sasaran serangan. Ini pengorbanan yang perlu diterima apabila memilih kehidupan sebagai selebriti.

“Orang boleh menganggap saya malaikat hari ini, mungkin esok mereka panggil saya syaitan pula. Persepsi manusia boleh berubah pada bila-bila masa,” katanya kepada HibGlam.

Bagi Hannah, manusia tidak mungkin mampu menutup mulut orang lain, apatah lagi mengawal persepsi yang terbentuk berdasarkan penilaian masing-masing.

Justeru, daripada terperangkap dalam gelanggang memburu penerimaan masyarakat, dia memilih mengurus perkara yang masih dalam genggamannya termasuk kehidupan peribadi dan prinsip diri.

“Kita tak boleh kawal pandangan orang. Apa yang boleh dikawal adalah diri sendiri, kehidupan dan siapa yang berada di sekeliling kita,” ujarnya.

Keteguhan prinsip sebegitulah menjadi antara bekalan pemilik nama lengkap Hannah Adlina Blackburne Birch itu untuk terus bertahan dalam industri yang menuntut pengorbanan, apatah lagi ketika jadual kerjanya semakin menghimpit ruang rehat.

Mengakui dirinya bukan jenis pelakon yang gemar menerima projek secara bertindih, anak jati Kota Singa itu kini tetap mengharungi tiga penggambaran secara berturut-turut berikutan perubahan jadual dan penangguhan produksi.

“Saya sebenarnya suka buat satu projek dahulu. Selepas selesai, saya mahu berehat beberapa minggu atau bulan sebelum menyambung tugasan lain.

“Tetapi kali ini berlaku banyak perubahan jadual dan penangguhan sehingga semuanya jadi berturut-turut. Harap dapat berehat selepas selesaikan komitmen tahun ini,” katanya.

BERDIRI di Stadium Merdeka dalam konsert Awie Rock King pada September lalu menyuntik semula impian Hannah untuk memberikan perhatian lebih serius terhadap nyanyian, meskipun enggan meletakkan sasaran terlalu tinggi dalam masa terdekat. – IQBAL ROSLI

Impak kemunculan

Antara komitmen terbaharu adalah drama seram Dia Perempuan Sialan yang menyaksikan dirinya menggalas watak wanita hamil yang dihantui gangguan misteri selepas melalui beberapa episod keguguran.

Watak itu bukan calang-calang cabarannya kerana dia perlu menterjemahkan pergolakan emosi seorang wanita yang hidup dalam ketakutan, selain berdepan perubahan perasaan daripada marah kepada sedih dalam satu-satu babak.

“Cabaran watak ini perubahan emosinya. Sekejap takut, kemudian marah dan tiba-tiba menangis. Saya perlu memastikan setiap perasaan itu sampai kepada penonton.

“Penggambaran pula banyak dilakukan pada waktu malam, jadi tenaga perlu dijaga untuk memberikan persembahan terbaik,” jelasnya.

Karya 12 episod tersebut menuntut ketelitian berbeza kerana setiap episod hanya berdurasi sekitar 30 minit, sekali gus menjadikan setiap babak begitu signifikan dalam menggerakkan penceritaan.

Bagi Hannah, durasi pendek bukan alasan untuk pelakon mengambil mudah tanggungjawab, malah setiap kemunculan perlu meninggalkan kesan agar penonton terus terpaut pada jalan cerita.

“Bagi saya, setiap babak sangat penting kerana penonton hanya melihat kita selama setengah jam untuk satu episod. Jadi, tidak boleh ambil mudah walaupun babak itu nampak kecil,” katanya.

Menariknya, pelakon itu bukanlah individu yang asing dengan dunia supernatural apabila mengakui pernah melalui pengalaman berkaitan perkara mistik sebelum berhijrah ke Malaysia.

Malah, penggambaran di sebuah banglo di Pulau Carey selama sembilan hari turut menyelitkan pengalaman mendebarkan apabila berlaku beberapa gangguan kecil di lokasi berkenaan.

“Saya membesar dengan perkara supernatural. Mungkin sebab itu sejak kecil saya memang tertarik dengan cerita sebegini.

“Tetapi kita tidak boleh mendabik dada mengatakan diri berani kerana selagi belum diuji, kita tidak tahu bagaimana reaksi sendiri,” katanya.

Keberanian penerbit dan pengarah, Erma Fatima, menghasilkan naskhah yang lari daripada kebiasaan turut menjadi tarikan Hannah untuk menyertai projek berkenaan.

Baginya, karya yang berani mengangkat sisi berbeza kehidupan manusia mempunyai tempat tersendiri dalam industri kerana penonton tidak seharusnya terus disajikan dengan formula cerita yang berulang.

“Saya percaya setiap karya Erma mempunyai sebab dan mesej yang mahu disampaikan.

“Mungkin ada yang tidak suka penceritaannya, tetapi kalau tiada cerita seperti ini, karya yang dihasilkan akan jadi sama sahaja.

“Saya suka mencuba sesuatu yang berbeza kerana itulah tujuan menjadi pelakon. Kita perlu mencabar diri dan tidak hanya terikat dengan satu jenis watak,” katanya.

HANNAH sebenarnya berasa sangat kerdil sewaktu berada di pentas konsert bersama penyanyi hebat seperti Erra Fazira dan Awie.

Nyanyian di hati

Keinginan untuk meneroka sisi lain dunia seni juga membuatkan Hannah tidak menutup pintu untuk suatu hari nanti melangkah ke belakang kamera sebagai pengarah atau penerbit.

Walaupun menyedari tugas mengemudi sesebuah produksi menuntut komitmen yang jauh lebih besar, dia menyimpan hasrat untuk mempelajari selok-belok bidang berkenaan sebelum berani merealisasikan impian tersebut.

Di sebalik namanya yang semakin sinonim dengan lakonan, tidak ramai mungkin menyedari bahawa Hannah sebenarnya memulakan perjalanan seni menerusi bidang nyanyian.

Namun, laluan muziknya tidak berkembang sepantas kerjaya lakonan apabila dia mengakui masih belum mempunyai sistem pengurusan dan promosi yang benar-benar mampu mengangkat potensinya sebagai penyanyi.

“Saya sedar tidak mempunyai promosi yang betul untuk lagu-lagu sendiri. Dunia lakonan dan nyanyian sangat berbeza. Dalam lakonan, saya sudah melalui prosesnya selama bertahun-tahun, tetapi dalam nyanyian saya masih banyak belajar.

“Sekarang saya bergerak secara bebas tanpa bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman,” katanya.

Bagaimanapun, percaturan rezeki membawanya ke satu pengalaman yang tidak pernah terlintas dalam fikiran apabila menerima tawaran daripada ikon rock, Datuk Awie untuk membuat persembahan bersama penyanyi rock legenda itu di Singapura pada awal tahun ini.

Jemputan tersebut disambut tanpa banyak pertimbangan meskipun Hannah ketika itu sedang terikat dengan penggambaran, malah dia hanya mempunyai tempoh sekitar dua minggu untuk membuat persiapan sebelum berkongsi pentas dengan figura yang cukup disegani dalam industri muzik tanah air.

“Saya sangat berterima kasih kepada Datuk Awie. Tawaran itu datang secara tiba-tiba dan saya sendiri tidak tahu bagaimana dia mendapat tahu tentang kebolehan nyanyian saya.

“Mulanya memang terfikir juga, bolehkah saya buat? Sebab saya sedar kedudukan sebagai penyanyi belum begitu kukuh berbanding kerjaya lakonan. Peluang dibuka Datuk Awie sangat besar maknanya,” katanya.

Rezeki Hannah tidak terhenti di situ apabila dia sekali lagi diberi kepercayaan membuat persembahan di pentas ikonik Stadium Merdeka bersama barisan penyanyi ternama termasuk Awie dan Erra Fazira.

Mengakui jantungnya hampir luruh sebaik menerima tawaran tersebut, Hannah menyifatkan peluang beraksi di pentas bersejarah itu sebagai satu penghormatan yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.

“Saya rasa sangat kecil apabila berada di pentas bersama penyanyi hebat, apatah lagi dapat berduet dengan Erra dan Datuk Awie.

“Datuk Awie seorang yang sangat merendah diri dan lemah lembut walaupun namanya begitu besar. Saya sangat menghormatinya dan pengalaman itu akan saya kenang sampai bila-bila,” ungkapnya.

Di sebalik keterujaan tersebut, anak seni berusia 30 tahun itu sebenarnya berdepan ujian apabila hanya mempunyai dua hari untuk menjalani latihan, selain mengalami tonsilitis sehingga menjejaskan keadaannya ketika persiapan persembahan.

Namun, segala kekangan itu tidak memadamkan rasa syukur kerana peluang beraksi bersama nama besar industri muzik tempatan menjadi pengalaman yang cukup berharga dalam perjalanan seninya.

Malah, detik di Stadium Merdeka itu menyuntik semula impian Hannah untuk memberikan perhatian lebih serius terhadap bidang nyanyian, meskipun dia enggan meletakkan sasaran terlalu tinggi dalam masa terdekat.

“Harapan saya mungkin dapat memulakan sesuatu dalam bidang nyanyian pada masa akan datang. Kita hanya boleh merancang, tetapi Allah yang menentukan.

“Saya lebih suka mengikut ke mana kehidupan membawa saya. Kalau begini jalannya, saya terima. Kalau begitu pula, saya juga reda,” katanya.

SEBAGAI pencinta haiwan, Hannah Delisha turut berasa kesal terhadap kes penderaan haiwan seperti video kucing yang diikat lehernya dan digantung di luar tingkap pikap di Kluang, Johor, baru-baru ini.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN