KITA datang ini satu roh satu jasad… Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat…
Itu antara bait-bait di hujung karya puisi berjudul Tetamu Senja nukilan Sasterawan Negara Datuk Seri Dr. A. Samad Said yang puitis dan penuh makna tentang bakti dalam kehidupan.
Perginya A. Samad Said yang menghembuskan nafas terakhir petang kelmarin selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur akibat sakit tua selain diabetes sememangnya satu kehilangan dalam bidang kesusasteraan.
Hayatnya penuh jasa dan A. Samad Said telah meninggalkan legasi besar dalam dunia kesusasteraan tanah air menerusi naskhah bermutu tinggi yang merakam pelbagai sisi kehidupan masyarakat.
Figura berambut dan berjanggut putih yang lebih mesra disapa Pak Samad itu dilahirkan pada 9 April 1935 di Durian Tunggal, Melaka serta mula aktif berkarya sejak 1950-an sebelum mengukuhkan kedudukannya sebagai antara tokoh penting kesusasteraan Melayu moden.
Kekuatan Allahyarham lebih terserlah menerusi penulisan novel, selain turut menghasilkan puisi, cerpen, drama, esei dan kritikan sastera.
Menurut biografi penulis di laman web Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), novel pertama Pak Samad yang berjudul Gerhana memenangi hadiah penghargaan peraduan novel DBP 1958 sebelum ia ditukarkan dengan judul Salina dan diterbitkan pada 1961.
Karya itu disifatkan sebagai bertaraf antarabangsa oleh sesetengah sarjana termasuk Prof. A. Teeuw, seorang ahli linguistik terkemuka yang mengkaji kesusasteraan Melayu, Indonesia dan Jawa kuno.
Salina bahkan diterjemahkan kepada pelbagai bahasa asing antaranya Inggeris, Mandarin, Jepun, Korea, Perancis dan Sepanyol.

Bayangkan, novel Gerhana atau Salina itu hanya memenangi hadiah penghargaan bagi peraduan novel 1958, bukan tempat pertama atau kedua dalam peraduan itu, tetapi impaknya cukup hebat.
Karya Sungai Mengalir Lesu pula menampilkan pengalaman langsung beliau dalam masyarakat yang menderita akibat perang. Antara novel lain Allahyarham ialah Di Hadapan Pulau, Adik Datang, Langit Petang dan Cinta Fansuri.
A. Samad Said atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said turut memperlihatkan keistimewaan dalam penghasilan puisi menerusi kumpulan Liar di Api, selain antara penulis terawal yang bereksperimen dengan bentuk sajak bebas.

Pengiktirafan ketokohan beliau dalam bidang kesusasteraan dizahirkan menerusi pelbagai anugerah antaranya Anugerah Pejuang Sastera pada 1976, S.E.A. Write Award di Bangkok (1979) dan Anugerah Sastera Negara (1985) yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail.
Allahyarham turut menerima Anugerah ASEAN dalam Kategori Sastera dari Brunei pada 1993 serta Anugerah Sasterawan Nusantara pada 1999.

Pada 16 Oktober 2003, beliau menerima Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Kesusasteraan daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam bidang berkenaan.
Mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura sebelum melanjutkan pelajaran di Victoria Institution sehingga memperoleh Sijil Senior Cambridge, beliau pernah berkhidmat sebagai kerani di Hospital Umum
Singapura sebelum menceburi bidang kewartawanan dengan beberapa penerbitan, termasuk Fikiran Rakyat, Utusan Zaman dan Berita Harian.
Allahyarham juga pernah memegang jawatan Ketua Pengarang Warta Teberau pada 1981 serta Ketua Pengembangan Sastera dalam kumpulan akhbar The New Straits Times di Kuala Lumpur.














