fbpx
Syafiq aktif dalam pengucapan awam, berpidato dan mendeklamasikan sajak sehingga berjaya meraih gelaran Johan Pertandingan Pidato Piala Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Kebangsaan pada 2019.

Syafiq ubati kerinduan arwah ibu dengan puisi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERGIAT aktif dalam penulisan puisi dan kesukarelawanan sejak di bangku sekolah telah membentuk keperibadian yang hebat dalam diri anak muda berwawasan tinggi ini.

Malah, dia turut cemerlang dalam bidang akademik sehingga menjadi inspirasi kepada para pelajar.

Muhamad Syafiq Mohd Salleh, 22, yang kini merupakan pelajar tahun tiga Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian di Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) juga berkebolehan tinggi dalam kepimpinan dengan mengetuai pelbagai program termasuk dilantik sebagai Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar UPM Sesi 2024/2025.

Menurut Muhamad Syafiq atau lebih mesra disapa Syafiq, kerja-kerja sukarelawan menjadi terapi jiwanya dan dia juga dapat mencari makna hidup sebenar agar terus bangkit apatah lagi ketika berada di titik terendah saat kehilangan ibu tercinta lima tahun lalu.

“Arwah ibu meninggal dunia tiga bulan sebelum saya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Detik itu sangat sukar bagi diri saya apatah lagi menggalas tanggungjawab sebagai anak sulung daripada tiga beradik.

“Saya hanya mampu berserah kepada Allah dan berdoa supaya peperiksaan SPM dapat dibuat sebaik mungkin walaupun jiwa terasa sangat kosong.

“Selepas dua hari menamatkan peperiksaan SPM, saya menubuhkan The LAHH Volunteers untuk mencari semula jiwa yang hilang dan bangkit bagi meneruskan kehidupan,” katanya kepada K-Kampus.

Jelasnya, The LAHH Volunteers merupakan kumpulan sokongan untuk membantu badan-badan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan kerja-kerja kesukarelawanan dengan memberi sumbangan berupa tenaga dan sebagai pelaksana dalam menjayakan misi kebajikan serta khidmat bakti kepada masyarakat.

Selain itu, Syafiq yang juga bergiat aktif dalam penulisan kreatif seperti puisi turut mengisi masa lapangnya dengan menghasilkan karya-karya puisi sebagai pengubat rindu kepada bonda tercinta.

“Penulisan puisi bukanlah perkara baharu bagi saya kerana sudah terlibat secara aktif dalam penulisan karya kreatif untuk diterbitkan dalam majalah sekolah.

“Bakat dalam bidang penulisan dikesan oleh guru ketika menyemak karangan yang saya hasilkan, lalu mereka mencadangkan menulis untuk majalah sekolah dan sejak itu saya aktif menulis pelbagai puisi,” ujar pemenang Naib Johan Pertandingan Penulisan Esei Jawi dan Johan Sayembara Penulisan Sajak Bahasa Melayu.

Bukan itu sahaja, anak kelahiran Pontian, Johor itu turut aktif dalam pengucapan awam, berpidato dan mendeklamasikan sajak sehingga berjaya meraih gelaran Johan

Pertandingan Pidato Piala Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Kebangsaan pada 2019.

Kini, bakal guru itu terus menyemarakkan aktiviti berkaitan penulisan kreatif puisi, pengucapan awam dan bidang kesukarelawanan di puncak menara gading.

Baru-baru ini, Syafiq bertuah kerana terpilih menyertai khidmat kesukarelawanan yang terbesar dalam hidupnya iaitu Misi Sukarelawan Siswa Ke Green Summer Volunteer

Campaign Vietnam 2025 selama sebulan di bawah Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Kementerian Perpaduan Negara.

SYAFIQ (kiri) mengajarkan bahasa Inggeris kepada seorang kanak-kanak yang ditemani neneknya ketika mengikuti program kesukarelawanan di Vietnam baru-baru ini.

“Untuk terpilih sebagai sukarelawan bagi misi ini bukan mudah kerana saya perlu mengikuti sesi temu duga dan daripada 1,000 calon, hanya 53 orang yang dipilih menjalankan misi bersama wakil pelajar dari empat negara iaitu Vietnam, Indonesia, Laos dan Malaysia.

“Di sana, kami dibahagikan kepada tiga kampung untuk memberi khidmat berkaitan enam teras YSS meliputi pendidikan, pembangunan sosial dan sebagainya sekali gus menjadi duta perpaduan dengan menampilkan keindahan budaya negara kepada masyarakat luar.

“Pengalaman yang tidak boleh saya lupakan adalah kesungguhan seorang nenek yang meminta kami mengajar cucunya belajar bahasa Inggeris.

“Kanak-kanak itu pada awalnya langsung tidak tahu dan berani untuk membaca dan bercakap bahasa Inggeris.

“Setiap hari nenek itu setia menemani cucunya belajar dan ajaibnya dalam masa singkat iaitu lapan hari, kanak-kanak tersebut sudah boleh membaca dan bercakap dalam bahasa Inggeris,” kata penerima Anugerah Kepimpinan Sukarelawan Kemanusiaan Majlis Anugerah Naib Canselor UPM 2025 itu.

Peristiwa tersebut menyedarkannya bahawa pendidikan bukan sekadar mengajar tetapi di situ juga ada nilai kasih sayang dan harapan.

Sepanjang 30 hari berada di kampung Binh Loi Commune, Ho Chi Minh City, Syafiq turut memperlihatkan keindahan budaya Malaysia dan dia juga tidak melepaskan peluang mendeklamasikan sajak bertajuk Ini ASEAN Kita nukilannya sendiri sambil memakai baju tradisional layang, bersamping dan bertanjak.

Dia dan rakan-rakan sukarelawan juga berjaya menghasilkan mural sepanjang 40 meter yang disiapkan dalam tempoh lapan hari dengan motif gambar kereta api yang setiap satu menggambarkan budaya di Malaysia.

Menutup bicara, besar harapan Syafiq untuk terus memberikan sumbangan bakti kepada masyarakat dalam pelbagai aspek kehidupan termasuklah pendidikan. Dia juga bercita-cita menjadi nama besar dalam bidang penulisan puisi pada masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN