HANS mengakui komitmen terhadap drama Gerak Khas 2.0 masih diteruskan meskipun pada awalnya hanya bersetuju untuk menjayakan satu episod.

‘Apabila kita bergelar pelakon, sampai mati kita tetap pelakon’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERDEDIKASI menggalas mandat sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), kecintaan pelakon juga penerbit, Datuk Hans Isaac terhadap dunia lakonan masih menebal.

Beliau bahkan mengakui sukar meninggalkan bidang yang sudah sebati dengan dirinya sejak terjun ke arena seni lebih tiga dekad lalu.
Hans atau nama lengkapnya, Gerald Hans Isaac, 55, berkata, meskipun kini lebih banyak menguruskan hal pentadbiran dan perniagaan, fikirannya masih ligat memikirkan idea serta cerita yang boleh diterjemahkan ke layar perak.

Katanya, minat terhadap dunia kreatif tidak pernah terhenti kerana setiap kali sebelum melelapkan mata, pasti ada cerita baharu yang bermain dalam fikirannya.

Hidupkan karya lalu

“Apabila kita bergelar pelakon, sampai mati kita tetap pelakon. Walaupun saya bekerja di Finas ataupun menguruskan syarikat, sebelum tidur saya masih fikir tentang cerita dan idea yang boleh dihasilkan.

“Kadang-kadang saya terfikir alangkah menariknya kalau dapat menghasilkan sesuatu projek animasi atau menghidupkan semula karya terdahulu seperti filem Cuci,” katanya.

Hans yang pernah bekerjasama dengan penggiat kreatif seperti Datuk Afdlin Shauki dan Datuk Awie mengakui sentiasa terbuka untuk menyokong idea baharu rakan seperjuangan lain.

Baginya, kreativiti tidak seharusnya dibatasi oleh kedudukan seseorang, usia atau tanggungjawab semasa yang sedang digalas.

Dalam perkembangan lain, Hans turut mengakui komitmen terhadap drama Gerak Khas 2.0 masih diteruskan selepas pada awalnya hanya bersetuju untuk menjayakan satu episod.

Jelasnya, keputusan menerima tawaran sutradara, Datuk Yusof Haslam itu dibuat kerana enggan menghampakan produksi serta rakan seperjuangan yang sudah memberikan komitmen.

“Saya sebenarnya ingatkan hanya akan menjalani penggambaran untuk satu episod terakhir, tetapi kemudian dimaklumkan perlu meneruskan beberapa episod lagi.

“Apabila sudah memberikan komitmen, saya rasa tidak adil kalau tiba-tiba menarik diri, lebih-lebih lagi kepada Datuk Yusof dan rakan-rakan pelakon yang juga sahabat saya.

“Saya seronok dapat kembali ke set kerana ramai kawan lama ada di situ. Datuk Yusof juga pernah mengarahkan saya sebelum ini, jadi suasana bekerja dengan mereka memang menyeronokkan,” katanya.

Menurut Hans lagi, pengalaman itu turut membuka matanya mengenai perasaan penggiat seni veteran yang masih mengharapkan peluang untuk kembali bekerja meskipun sudah berusia.

Katanya, peluang kembali ke lokasi penggambaran bukan semata-mata berkaitan soal pendapatan, sebaliknya memberikan kepuasan apabila dapat bertemu rakan seperjuangan dan melakukan perkara yang diminati.

“Bayangkan kalau seseorang berusia 70 tahun tidak mempunyai pekerjaan, kemudian diberikan peluang untuk kembali bekerja bersama rakan-rakan lama. Sudah tentu dia gembira dan lebih bersemangat.

“Sebab itu saya faham keterujaan penggiat seni, terutama pelakon veteran yang diberikan ruang untuk kembali berlakon selepas sekian lama tidak mendapat peluang,” katanya.

Menceburi arena hiburan sejak 1994 menerusi filem Ringgit Kasorrga, aktor terbabit pernah mengumumkan bersara dari lakonan pada Disember 2021 bagi memberi perhatian terhadap penerbitan, politik dan perniagaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN