MIRI – Berpantang maut sebelum ajal. Itu pepatah yang tepat bagi menggambarkan situasi menimpa seorang lelaki yang diserang buaya ketika bersantai di tepi sungai di Kuala Baram di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 9.30 malam itu, mangsa terselamat, namun mengalami kecederaan serius di beberapa bahagian badan.
Lelaki itu dikatakan tidak menyedari kehadiran reptilia tersebut ketika bersantai sambil bermain telefon bimbit di tepi sungai berkenaan.
Pemburu buaya, Eric Cat berkata, beberapa penduduk yang berada berhampiran lokasi kejadian bertindak pantas memukul buaya menggunakan kayu bagi membantu mangsa.
“Tindakan itu dipercayai menyebabkan buaya tersebut melepaskan mangsa sebelum menghilangkan diri ke dalam sungai,” katanya.
Susulan kejadian itu, pasukan Eric bersama Sarawak Forestry Corporation (SFC) pergi ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan.
Operasi mengesan buaya dilakukan di kawasan Kuala Baram bermula hari ini dengan kerjasama SFC.
Penduduk turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan aktiviti terlalu hampir dengan tebing sungai, khususnya pada waktu malam.
Sementara itu, Pengurus besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran memaklumkan pihaknya belum menerima maklumat rasmi berhubung kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE














