PETALING JAYA – Beberapa pembeli durian meluahkan rasa terkilan apabila ditipu oleh penjual yang tidak bertanggungjawab dengan menggunakan strategi pemasaran mengelirukan melalui siaran langsung (live) di TikTok.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Facebook oleh @Ahmad Pintu, dia meluahkan rasa kecewanya terhadap penjual yang bertindak mengubah taktik jualan serta menyusun buah di bahagian atas sahaja, manakala ruang di dalam bakul tersebut sebenarnya kosong.
“Dia (penjual) kata hari itu sebakul RM70, hari ini kata selonggok pula.
“Bila orang datang nak beli, rupa-rupanya bawah durian tu ada bakul. Durian belah atas je, yang dalam bakul tu kosong,” katanya pada hantaran tersebut.
Katanya, ramai pembeli yang berasa tertipu dengan tindakan penjual durian tersebut kuantiti buah yang diterima tidak sepadan dengan apa yang digambarkan ketika sesi siaran langsung berlaku.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut berkongsi taktik sesetengah penjual yang mengelirukan orang ramai.
“Kena dah hari itu beli durian sebakul RM250. Sekali bila bawa balik separuh bakul dah rosak duriannya. Buah pula muda-muda dan yang berair pun ada,” kata @Adin Edy.
“Pernah kena juga hari itu dalam ‘live’. Katanya RM100 untuk 10 kilogram, tapi bila datang yang RM100 tu dah pecah punggung dah. Yang elok RM150 pulak,” ujar @Mohd Eswandi.
“Jangan beli durian hari Khamis malam Jumaat sebab harga dia memang tinggi. Dia tahu hari Khamis orang dapat gaji,” jelas @Azmeer Abdul Ghani. – KOSMO! ONLINE














