PETALING JAYA – Seorang pempengaruh sekali lagi dikecam orang ramai apabila didakwa masih membuat siaran langsung atau ‘live’ perlawanan Piala Dunia 2026 di laman TikTok.
Menerusi hantaran pengguna Threads Mhfxxz, dia berkongsi tangkap layar didakwa daripada siaran langsung TikTok pempengaruh tersebut yang menyiarkan perlawanan antara England dan Congo DR.
“Buat ‘live’ World Cup tapi siaran guna RTMKlik dan bagi negara lain tengok juga. Dah kena kecam masih buat lagi,” katanya pada hantaran berkenaan.
Ia mengundang kecaman orang ramai terhadap pempengaruh tersebut yang didakwa masih degil apabila dikatakan melakukan perbuatan sama.
“Budak ni dia rasa dia kebal selagi tak ada tindakan mengutipnya di rumah. Apa punya degil ek, semoga RTM Malaysia dan FIFA World Cup saman kerana mencuri hak penyiaran,” komen Achikz Ilham.
“Tak faham bahasa ke? Kenapa nak buat ‘live’ lagi, siap ada ‘watermark’ RTM lagi. Kau ada nampak content creator (pencipta kandungan) lain buat tunjuk perlawanan ‘live’ semua?,” komen Acdc 0105.
“Selagi tidak kena saman berpuluh ribu, dia buat lagi. Harap kena saman dan masuk penjara,” komen Froul89.
Semalam Kosmo! Online melaporkan, seorang pempengaruh kontroversi dikecam hebat selepas didakwa membuat siaran langsung atau ‘live’ perlawanan Piala Dunia 2026 di laman TikTok.
Menerusi hantaran seorang pengguna Threads, dia mendakwa sejak awal pagi, pempengaruh yang mempunyai kira-kira 1.9 juta pengikut itu telah melakukan siaran langsung sambil menyiarkan perlawanan antara Ivory Coast dan Norway.
Siaran langsung itu didakwa ditonton lebih 15,000 pengguna selain menerima lebih 5,000 perkongsian dan 1.7 juta tanda suka.
Individu sama turut mendakwa pempengaruh berkenaan sebelum ini membuat ‘live’ perlawanan antara Jerman dan Paraguay dengan jumlah tontonan mencecah 503,000. – KOSMO! ONLINE














