GUA MUSANG – Seorang pekebun durian di Kampung Batu Papan 2, di sini, terpaksa membuang kira-kira satu tan durian termasuk musang king yang rosak sepanjang hampir sebulan musim durian kali ini.
Chong Yok Fon, 55, berkata, cuaca panas dan angin kencang menyebabkan banyak buah durian musang king, durian kampung dan durian hutan gugur sebelum sempat dipasarkan.
Katanya, durian yang jatuh ke tanah cepat rosak dan mengeluarkan bau masam sehingga tidak lagi sesuai dijual kepada pelanggan.
“Setiap pagi, saya mengasingkan buah durian mengikut saiz dan gred. Jika terdapat buah yang pecah, rosak dan ditebuk serangga atau haiwan perosak, durian itu tidak lagi dapat dijual kepada pelanggan.
“Sebahagian buah masih boleh dimakan akan diproses menjadi pelbagai hidangan, malah ada juga yang lebih sesuai dijadikan tempoyak,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Yok Fon memberitahu, dianggarkan sebanyak 200 hingga 300 kilogram durian gugur dan rosak di kebunnya setiap minggu.
Menurutnya, kerugian itu melibatkan pelbagai jenis dan saiz buah termasuk durian kunyit dan musang king.
“Perubahan cuaca yang panas pada waktu siang, tetapi hujan pada sebelah malam menjadi faktor buah cepat gugur dan rosak akibat angin kencang.
“Setakat ini, saya mempunyai kira-kira 1,000 pokok musang king berusia antara 10 hingga 40 tahun. Jika keadaan ini berterusan, ia amat mengecewakan kerana kos penjagaan kebun sangat tinggi,” ujarnya.
Yok Fon berkata, sekiranya tiada pelanggan yang berminat mengambil durian yang masih boleh dimakan, dia terpaksa membuang dan melupuskan buah-buah berkenaan.
“Saya tiada pilihan selain melupuskan dan membuangnya kerana tidak lagi sesuai untuk dimakan,” tambahnya.














