PETALING JAYA – Tindakan murni seorang kanak-kanak lelaki yang sanggup mengetepikan keinginan peribadi demi kebajikan rakan sekelas menyentuh hati pengguna media sosial.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads oleh @Izlatuuu, dia membawa anak-anaknya berkunjung ke sebuah kedai dan menetapkan peraturan hanya membenarkan setiap seorang memilih satu barang sahaja.
Namun, berbeza dengan kanak-kanak lain yang biasanya akan memilih permainan atau makanan ringan, anak lelakinya lebih memilih untuk membeli sebatang penyapu untuk kelasnya.
“Ibu, boleh tak belikan penyapu untuk kelas Zubair? Penyapu kelas Zubair asyik patah je.
“Zubair nampak dua sekali dengan penyodok. Boleh kan ibu? Zubair tak nak beli apa-apa untuk Zubair. Nak beli penyapu je untuk kelas,” katanya kepada ibunya.
Meskipun ibunya mempersoalkan tanggungjawab guru dalam menyediakan peralatan tersebut, Zubair tetap berkeras mahu membelinya sendiri kerana mendakwa penyapu yang dibeli sebelum ini sering patah semula.
“Masya-Allah, sangat prihatin. Semoga anak-anak ibu membesar menjadi orang yang memberi manfaat kepada sekeliling dan ada empati yang tinggi,” ujar ibunya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna kagum dengan didikan ibu bapa kanak-kanak tersebut kerana melahirkan anak yang prihatin dan bertanggungjawab.
“Bagusnya, tak fikir untuk diri dia sendiri tapi fikirkan untuk semua orang. Tahniah ibu sebab ajar anak tentang kebaikan,” kata @Na.laoshi.
“Seronok lah nanti dia bawa ke sekolah tu. Saya pun tumpang bangga sebab Zubair membesar jadi anak yang baik akhlaknya,” tambah @Wani_abwahab. – KOSMO! ONLINE














