LANGKAWI – Pembantu tenaga pengajar dari China mengungguli tempat pertama Ironman Langkawi bagi kategori lelaki.
Zhu Lichang, 41, dari China, mengungguli kategori keseluruhan lelaki bagi Ironman Langkawi dengan catatan masa sebanyak 9 jam, 4 minit dan 25 saat.
Dia yang pertama kali menyertai Ironman Langkawi pada 2015 hanya merangkul tempat keempat bagi kategori umurnya ketika itu.
“Saya tidak beraksi dengan baik pada 11 tahun lepas, jadi saya berlatih dengan lebih kuat dan saya berjaya mendapat keputusan yang jauh lebih baik berbanding 11 tahun lepas.
“Walaupun saya berharap untuk menamatkan perlumbaan dengan masa di bawah sembilan jam, tetapi saya berasa gembira untuk memenangi Ironman Langkawi kali ini,” katanya kepada sidang akhbar selepas menamatkan perlumbaan triatlon tersebut di Jalan Pantai Chenang, di sini, hari ini.
Zhu disusuli Laurent Marcilloux dari Perancis dengan catatan masa sebanyak 9 jam, 8 minit dan 50 saat dan Asad Attamimi dari Australia dengan catatan masa sebanyak 9 jam, 20 minit dan 3 saat.
Sementara itu, kategori wanita dimenangi oleh Chinouk Tschan dari Switzerland dengan catatan masa 10 jam, 15 minit dan 31 saat, dan tempat kedua disandang oleh peserta dari Jerman, Nina Maurer dengan catatan masa 10 jam 15 minit 34 saat manakala tempat ketiga juga dari negara sama, Jennifer Zenker dengan catatan masa 10 jam 35 minit dan 41 saat.
Kesemua peserta Ironman Langkawi menghabiskan disiplin renang sejauh 3.8 kilometer (km) sebelum berbasikal 180 km dan berlari dengan jarak 42.2 km.-KOSMO! ONLINE














