LANGKAWI – Aspek keselamatan para atlet menjadi tumpuan utama penganjur triatlon Ironman Langkawi yang akan bermula esok.
Pengarah perlumbaan, Fauzy Famir berkata, antara yang sering mengganggu para atlet semasa disiplin renang sejauh 3.8 kilometer (km) adalah hidupan laut yang boleh ditemukan di sekitar perairan pulau ini.
“Kita ada lebih daripada 13 agensi di Langkawi yang bergabung menjadi satu pasukan di bawah kelolaan seorang komander untuk menjaga keselamatan atlet.
“Persiapan itu termasuk memantau hidupan air yang tidak diingini dan memasang jaring untuk menghalang kejadian yang tidak diingini,” katanya kepada sidang akhbar di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, perlumbaan Ironkids yang diadakan di lokasi yang sama dengan disiplin renang Ironman pagi tadi juga berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai ramalan cuaca pada perlumbaan esok yang dijangka baik pada waktu pagi dan malam, dengan sedikit hujan pada lewat petang.
Jelasnya, cuaca hujan biasanya akan membantu para atlet untuk menyejukkan badan terutamanya semasa disiplin berbasikal sejauh 180 km sebelum diakhiri dengan larian marathon sejauh 42.2 km. – KOSMO! ONLINE














