BALING – Seekor kucing jantan yang diberi nama Jibek merupakan antara ‘peserta’ unik larian lasak, The Magnificent Baling 100 apabila dibawa pemiliknya menyertai acara larian sejauh 25 kilometer.
Pemiliknya, Azhan Dziaruddin, 44, dari Kuala Lumpur berkata, kucing kacukan Maine Coon dan kucing kampung itu sudah mengikutnya menyertai larian sejak berusia tiga bulan.
“Jibek baru berusia tujuh tahun dan sudah mengikut saya dalam pelbagai acara larian, panjat gunung dan juga pernah menyertai acara paragliding.
“Daripada tujuh ekor kucing yang saya bela, Jibek paling senang dibawa dan dikawal,” katanya ketika ditemui di Kampung Lubuk Pedati, di sini hari ini.
Menurutnya, sepanjang menyertai larian tersebut, dia akan memastikan keperluan Jibek diutamakan sama seperti dirinya sendiri termasuk makan, minum dan berehat.
Katanya, Jibek juga tidak banyak kerenah dan dia berasa lebih selamat apabila kucing itu bersamanya kerana haiwan berkenaan dikatakan mampu merasai sesuatu yang tidak dapat dilihat manusia.
Tambah beliau, Jibek yang mempunyai berat lebih tujuh kilogram, biasanya diletakkan di dalam beg sangkar di belakangnya sepanjang larian, malah penyertaan kali ini merupakan kali ketiga mereka bersama-sama menyertai acara berkenaan. – KOSMO! ONLINE














