Setiap bulan ada sahaja rakan-rakan penulis bergambar dengan pingat masing-masing selepas menamatkan acara larian antara lima kilometer (km) hinggalah kepada acara larian sejauh 42 kilometer.
Kepuasan jelas tergambar dengan kisah ‘struggle’ masing-masing termasuk juga bagi yang baru berjinak-jinak menyertai pelbagai acara larian yang dianjurkan syarikat korporat, agensi kerajaan dan juga institusi kewangan.
Itu cerita menarik bagi peminat larian di jalan raya dan lebuh raya tapi sungguh berbeza bagi segmen larian denai, yang terbaharu adalah di Taman Negara.
Ia baru sahaja menobatkan pemenangnya yang berjaya berlari sejauh 100 kilometer dengan menyaksikan lebih 87 peratus gagal menamatkan cabaran dalam masa yang ditetapkan
Taman Negara Ultra Trail di Kuala Tahan, Jerantut, Pahang mencungkil pelbagai cerita menarik sehinggakan memuncakkan nama seorang warga emas berusia lebih 60 tahun, Ariffin Abdul Manan yang hanya berkaki ayam berlari dengan memegang sebatang tongkat dengan gayanya yang tersendiri berjaya menduduki tempat ke 72 daripada 326 peserta. Dia menghabiskan masa larian selama tujuh jam 32 minit.
Nama warga emas ini begitu popular untuk mendapatkan tips, amalan hidupnya yang dapat menghabiskan cabaran larian denai sejauh 30 km tanpa memakai kasut, tanpa memanfatkan gel tenaga dan juga tidak memakai jam GPS canggih di tangan.
Kejayaannya itu bersandarkan kepada amalannya sejak 20 tahun yang suka meredah lumpur dan hutan berbatu hanya dengan berkaki ayam yang dipelajarinya daripada seorang pelari marathon ultra.
Acara tahun ini menaikkan nama warga emas yang berjaya membuktikan usia bukan penghalang untuk terus aktif dalam sukan mencabar ini, malah menyuntik semangat untuk kita yang sihat, masih muda dan cergas tapi sibuk dengan rutian harian untuk mengubah cara hidup ke arah lebih aktif kembali beriadah serta menjaga pemakanan.
Bukan untuk mengajak masyarakat berkaki ayam untuk berlari, briskwalk tetapi secara perlahan-lahan mengubah diri kita agar beralih ke arah kehidupan yang lebih positif, pemikiran yang tenang, tidak terlebih berfikir sehingga menyebabkan kemurungan dan paling penting, jadi lebih kuat dalam menghadapi segala cabaran.
Seperti mereka yang menyertai larian di dalam hutan seperti Taman Negara Ultra Trail memerlukan ketahanan mental serta fizikal yang sangat mantap dan ia bukan untuk calang-calang orang.
Kegigihan Pakcik Ariffin, pastinya akan menyuntik semangat orang muda untuk mencuba mendaftar di acara larian denai yang begitu mencabar ini sekali gus ia akan menaikkan nama destinasi larian khususnya Taman Negara.
Mungkin sudah biasa berlari di trek biasa, mungkin boleh diuji diri untuk mencuba larian yang mencabar ini bukan untuk menandingi Pakcik Ariffin tetapi mampu bertanding diri sendiri yang semakin manja, dibuai dengan rasa zon selesa untuk menjadi lebih kuat berdepan tahun 2027 yang bakal membawa seribu satu lagi kisah mencabar.
















